KUALA LUMPUR, 7 Nov — Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan pengurangan jumlah kakitangan awam jika mengambil alih kerajaan pusat tetapi tidak menolak keperluan menggunakan tenaga kerja secara cekap demi pulangan yang optimum, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
Justeru kata beliau, jika ada mana-mana pihak yang melahirkan pandangan sedemikian, ia hanya merupakan pandangan peribadi pemimpin terbabit dan bukannya dasar Pakatan Rakyat.
“Kalau ada mana-mana pihak yang membangkitkan perkara itu, itu adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili Pakatan Rakyat,” kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menekankan tentang keperluan pelaksanaan pengurusan yang bijak dan berkesan bagi mengoptimumkan pulangan dari kakitangan awam yang ada kini.
“Jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat, adalah tidak bermakna dan sia-sia jumlah kakitangan awam yang banyak.
“Begitu juga, apa makna dan sia-sia sahaja dikurangkan jumlah kakitangan awam jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat,” kata Mahfuz.
Laporan-laporan media pro-Umno mendakwa hasrat DAP mahu mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara mengukuhkan dakwaan bahawa parti berkenaan tidak selesa melihat penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.
Ruangan Awang Selamat Mingguan Malaysia semalam juga mendakwa isu tersebut satu lagi provokasi DAP yang tersirat agenda tertentu.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dipetik sebuah akhbar Cina baru-baru ini berkata kerajaan pihaknya akan mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti yang dilakukan kera jaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.
Sehubungan itu Mahfuz juga berkata, banyak yang boleh dipelajari daripada sektor korporat dan swasta mengenai kaedah-kaedah mengoptimumkan pulangan dari jumlah pekerja yang ada.
“Setakat ini, kita tidak pernah mendengar sebarang berita tentang tenaga kerja yang ada diagih-agihkan secara bijaksana dan berkesan mengikut keperluan dan tuntutan tenaga kerja untuk mengoptimumkan pulangan.
“Yang tidak henti-henti kita dengar aduan-aduan awam yang berterusan tentang tindakan yang lambat, kerenah birokrasi yang berlebihan dan ada jabatan-jabatan tertentu yang seolah-olah sudah menjadi dinosaur yang besar tetapi lambat bergerak sedangkan pada masa yang sama ada jabatan-jabatan yang agak kritikal dari segi tenaga kerja,” katanya.
Semua itu menurut Mahfuz, bukan salah kakitangan awam tetapi salah pentadbiran dan pengurusan negara yang tidak cekap dan tidak bijak.
Lebih penting dari itu, tegas beliau ialah memastikan ditamatkan segera campur tangan politik dalam urusan kakitangan awam.
“Jika sesuatu urusan sepatutnya membabitkan keputusan di peringkat sektor awam sahaja, mestilah dipastikan tidak ada campur tangan politik sama sekali,” katanya.
Beliau yakin pengurusan bijak dan berhemah tanpa campur tangan politik akan membantu mengatasi banyak masalah ketirisan dan kebocoran sehingga menjadi teguran Ketua Audit Negara setiap tahun.
Malah perkara itu menjadi perhatian ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang diumumkan pada 24 Oktober lalu.
“Banyak kakitangan awam yang mengadu bahawa kebocoran, ketirisan dan pembaziran serta amalan rasuah berpunca dari campur tangan ahli-ahli politik yang berkuasa,” kata beliau.
Mahfuz berharap rakyat bersungguh-sungguh memainkan peranan mengatasi perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan