
Kenyataan Tun Dr Mahathir menyebabkan rakyat semakin keliru
terhadap sejarah kemerdekaan negara. Dengan kenyataan penuh kontroversi oleh
Profesor Zainal Kling telah menimbulkan keserabutan dalam pemikiran rakyat
Malaysia, Tun Dr Mahathir pula menambah lagi kekeruhan terhadap rakyat
Malaysia. Banyak persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ini, jika
Malaya tidak pernah dijajah, mengapa kita sambut Hari Kemerdekaan negara pada
31 Ogos setiap tahun? Dan jika Malaysia tidak pernah dijajah, apakah UMNO boleh
dianggap pejuang kemerdekaan?
DPPM menegaskan, Tun Dr Mahathir bukan ahli sejarah yang
layak memberi komentar terhadap apa yang pernah berlaku. Beliau hanyalah
seorang ahli politik negara. Sejarah perlu dibentangkan dengaan fakta dan
kajian ilmiah secara terperinci. Justeru, beliau tidak berhak memberikan
pandangannya mengenai sejarah negara.
Apakah Dr Mahathir berani mengaku
bahawa UMNO bukanlah pejuang kemerdekaan sebenar kerana negara tidak pernah
dijajah. Apakah juga Dr Mahathir mahu menafikan sumbangan tokoh-tokoh
kemerdekaan yang diangkat selama ini seperti Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn
Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang dan lain-lain? Beranikah Tun Dr Mahathir
menyebut bahawa British layak diangkat sebagai pejuang negara manakala Dr
Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Bostamam, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman
Limbong, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Saleh, Rentap, dan lain-lainnya sebagai
pengkhianat negara?
DPPM menjelaskan gerakan-gerakan
menuntut kemerdekaan lebih dahulu ditubuhkan sebelum UMNO. Kesatuan Melayu Muda
(KMM) ditubuhkan pada 1938, diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM) ditubuhkan pada 1945 dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf
(API)yang ditubuhkan pada Februari 1946 , Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan
Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). UMNO hanya ditubuhkan pada tahun 1946 lewat
beberapa tahun selepas penubuhan gerakan-gerakan ini.Saat gerakan nasionalis
kiri ini melaungkan slogan merdeka ,UMNO masih dengan slogan “hidup Melayu”.
UMNO pula telah diharamkan pada tahun
1988. UMNO yang ada kini hanya UMNO baru yang ditubuhkan selepas diharamkan
tahun 1988. Roh UMNO zaman ‘kemerdekaan’telah berkubur sejak itu. Zaman Tun Dr
Mahathir yang menyebabkan UMNO diharamkan. Apakah Tun Dr Mahathir melupakannya
dan mahu sejarah menggelapkan sejarah ini.
DPPM mempunyai pandangan yang tegas
bahawa Dr Mahathir hendaklah berdiam diri dalam isu untuk tidak menyerabutkan
lagi perbahasan sejarah kemerdekaan yang berlaku.
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan