30 Jun 2011

Baju kuning: Pakai tak salah, tangkap salah


KUALA LUMPUR, 30 Jun: AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin (gambar)berkata, memakai baju kuning berlambang Bersih adalah tidak haram kerana tiada mana undang-undang yang melarang pemakaian baju kuning.

“Yang salah dan haram adalah tidak memakai baju dan seluar di khalayak ramai,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, polis yang menangkap mereka yang memakai baju kuning berlambang Bersih telah bertindak di luar batas undang-undang dan boleh disaman kerana melakukan tangkapan yang tidak sah.

Jelasnya lagi, Perkara 5 [1 ] Perlembagaan Persekutuan secara jelas melindungi mana-mana orang dari dilucutkan kebebasannya (deprived his liberty) kecuali menurut undang-undang.

“Menangkap mana mana orang yang memakai baju Bersih sedangkan memakai baju tersebut tidak dilarang oleh mana-mana undang-undang adalah melibatkan pelucutan kebebasan seseorang dan yang demikian ianya melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya yang juga pengamal undang-undang.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada portal Malaysikini semalam yang melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyokong tindakan polis menangkap mereka yang memakai baju kuning berlabelkan Bersih.

Ini kerana ujar Hishamuddin adalah haram memakai baju kuning tersebut.

Kata Hanipa, bagi Umno dan Hishammuddin janganlah terlalu paranoid dengan warna.

Menurutnya, jika satu waktu dulu Umno takut dengan warna hijau Petronas kerana warna hijau Petronas dilihat sama dengan warna bendera PAS, kini warna kuning pula yang ditakuti.

“Sampai bila Umno nak takut dengan warna?” soalnya.

Mengenai hujah Hishamuddin adalah jika aktiviti Bersih adalah haram, maka memakai baju kuning Bersih juga adalah haram, beliau bekata malang sungguh bagi rakyat Malaysia kerana mempunyai menteri yang ada kelulusan undang-undang tetapi jahil undang-undang.

“Saya mengesyorkan kepada Hishammuddin jika pun kamu benci sangat dengan Bersih janganlah sampai menggadaikan maruah dan integriti kamu.

“Ada masanya elok juga untuk kita menyembunyikan kejahilan kita,” ujarnya.

Beliau berkata, haram atau halal sesuatu perkara baik dari segi agama atau undang-undang adalah berdasarkan dalil dan bukannya berdasarkan kenyataan menteri.

Mungkin, katanya Hishammuddin boleh tunjukkan kepada kita di bawah peruntukan mana dan di dalam undang-undang mana memakai baju kuning berlambang Bersih adalah satu kesalahan.

“Jika kita menerima hujah Hishamuddin memakai baju kuning Bersih adalah haram kerana aktiviti Bersih adalah haram maka secara logiknya jika seseorang terlibat dengan berlumba motor secara haram, maka segala peralatan yang beliau pakai termasuklah helmet, seluar, jacket kulit dan motor yang beliau tunggang adalah kesemuanya haram,” katanya lagi.


Bersih 2.0: Fahami Perlembagaan Persekutuan


KUALA LUMPUR, 30 Jun: PAS hari ini menyeru orang awam untuk menelaah Perlembagaan Persekutuan untuk mengetahui hak masing-masing untuk berdepan dengan fobia Kementerian Dalam Negeri yang dikawal Barisan Nasional menjelang perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai ini.

Dengan memahami Perlembagaan Persekutuan negara, orang awam boleh mengenal pasti dan sedar apabila batasan hak mereka yang termaktub di dalam perlembagaan telah dicabuli,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa adalah satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memakai baju Bersih 2.0, justeru, tangkapan ke atas mereka oleh polis adalah betul.

“Dengan adanya pengetahuan mengenai Perlembagaan Persekutuan, orang awam akan tahu bahawa kenyataan bahawa ia satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memakai baju Bersih 2.0 adalah sesuatu yang tidak berlandaskan undang-undang dan juga perlembagaan negara,” tambah beliau.

Selain itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, orang awam akan tahu dan sedar bahawa larangan polis terhadap mereka untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 tanpa sebarang gangguan dan provokasi adalah bercanggahan kepada Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat sebagaimana yang dimaklumkan dalam satu kenyataan Suhakam baru-baru ini.

Rujuk Buku Merah dan Buku Panduan Rakyat Majlis Peguam Untuk memahami Perlembagaan Persekutuan, PAS, katanya mencadangkan agar orang awam untuk mendapatkan Buku Panduan Rakyat Perlembagaanku@MyConstitution – hasil terbitan satu kempen usaha murni Majlis Peguam untuk mendidik orang awam untuk memahami perlembagaan secara lebih mudah dan efektif.

Setakat ini, hampir 100 orang telah telah ditangkap kerna memakai baju kuning Bersih manakala mereka yang menjual baju berkenaan turut ditahan untuk disoal-siasat.

Memandangkan pihak polis telah menerima arahan untuk meningkatkan penahanan dancrackdown terhadap sesiapa saja yang disyaki menyokong Bersih 2.0 menjelang 9 Julai, Tuan Ibrahim juga menyeru orang awam yang menyokong Bersih 2.0 untuk mengetahui hak-hak mereka sekiranya ditahan polis dengan merujuk kepada Buku Merah terbitan Majlis Peguam ketika perhimpunan Bersih 2007.

Selain itu, Tuan Ibrahim juga meminta jasa baik orang awam untuk berkongsi matlumat mengenai Buku Merah dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengedarkannya dalam bentuk print, Facebook, emel dan Twitter kepada keluarga-keluarga dan rakan-rakan.

“(Ini) bukan untuk melawan polis, tapi untuk menjaga hak-hak mereka supaya tidak dicabul polis, yang terpaksa bertindak atas arahan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang masih bermimpi ngeri mengenai lautan kuning Bersih 2007,” tegas beliau.

Buku Merah boleh didownload dari pautan ini:

http://www.malaysianbar.org.my/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=2202&Itemid=120

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...