21 Oktober 2009

Mansuh segera PPSMI !

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai terus menyokong Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang menuntut agar polisi yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir ini dimansuhkan serta merta dan kerajaan tidak perlu lagi untuk berdolak-dalik tentang tarikh sebenar pemansuhan dasar ini.

Walaupun Muhyiddin Yassin menyebut bahawa dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012 sedang dilaksanakan, namun kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu.


Kendatipun begitu, kita tetap merasa sangsi dengan segala kenyataan oleh Menteri Pelajaran ini. Perlaksanaan PPSMI sejak 2003 membabitkan kos sebanyak RM5 bilion meliputi penyediaan peralatan dan latihan guru dan hal ini diakui sendiri oleh Muhyiddin. Kita cukup bimbang bahawa MBMMBI juga akan menjadi satu lubuk 'rezeki' bagi kroni yang terpilih setelah sejak 7 tahun lalu, dasar PPSMI ini telah dimanipulasi untuk mengkayakan sesetengah individu dan dalam masa yang sama memperjudikan nasib Bahasa Melayu dan masa depan anak bangsa Malaysia.Justeru, usahlah terus berdalih tentang pemansuhan dasar ini. Bahasa Melayu sebagai bahasa kelima terbesar di dunia telah terbukti berjaya memajukan anak bangsa khasnya di Malaysia ini. Berapa ramai professor, doktor, jurutera, arkitek, akauntan dan professional yang lain telah lahir daripada sistem pembelajaran dalam Bahasa Melayu sejak sekian lama. Jangan kerana kedangkalan dan kesombongan pemimpin terdahulu, kita semua terpaksa terus menanggung akibat dan kesan buruknya sekarang!

Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK Kuala Krai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...