02 Ogos 2009

Najib: Hati Orang PAS Tak Nak Jaga Ke?

Hari ini akhbar UMNO menyebut pada muka hadapan teguran Najib kepada Ustaz Nik Aziz, bunyinya seperti berikut, "Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat menjaga perasaan ahli UMNO dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung mereka jika mahu menjalin kerjasama lebih baik dengan kerajaan Pusat". Bermaksud, UMNO yang dikepalai Najib (Mat Monggol kata Hanief), benar-benar terasa hati dengan perkataan "pergi jahanamlah UMNO!" tempoh hari.

Sudah menjadi fitrah bagi manusia biasa, ciptaan hebat Allah S.W.T untuk memiliki pelbagai jenis perasaan pada waktu yang berlainan. Sedih, gembira, kecewa, bangga, takut, berani, terasa hati, kecil hati dan lain-lain. Dalam hal ini, UMNO terasa hati sangat dengan ucapan jahanam ke atas mereka. Jika ucapan itu hanya keluar daripada mulut pak tani, orang kampung yang berbual di kedai kopi Kampung Temalir tidak mengapa lagi. Tapi yang berkata "jahannam" itu adalah pemimpin Melayu yang bertaraf Tok Guru. Bisanya sukar hilang walau hanya disengat sekali.
Bagus Juga Mereka Masih Terasa

Saya masih teringat sewaktu belajar di UTM Skudai dahulu, sewaktu berada pada tahun kedua kami berjinak-jinak dengan Kelab Hisbah Kolej Tun Razak. Dalam satu keputusan perbincangan dengan sahabat-sahabat untuk cuba menyelesaikan masalah solat di kolej ini, kami pun cuba menampal poster di dinding-dinding blok. Antaranya mengajak warga kolej ke surau. Ada juga ayat poster yang berbentuk amaran daripada Allah S.W.T dalam bentuk ayat Quran dan hadis kepada golongan yang mencuaikan perkara solat.

Wal hasilnya, tidak sampai dua hari, banyak poster-poster kami dikoyak di sekitar bilik mereka yang sememangnya jauh dengan perkara-perkara seperti solat ini. Ada antara kami yang marah apabila poster dengan ayat-ayat quran dikoyak dan disepahkan. Namun, bagi saya, ini satu perkembangan yang agak baik dalam aspek dakwah. Bermaksud, teguran kami dalam bentuk poster itu agak berkesan di hati mereka yang bermasalah. Sekiranya semua mereka yang bermasalah dengan solat hanya memandang sepi poster-poster tersebut, tidak mengambil endah dan peduli, itu menunjukkan bahawa sudah tiada apa yang terletak dalam hati mereka apabila orang lain memperkatakan tentang solat. Ini lagi bahaya.

Sama sahaja dalam kes UMNO yang tercedera hatinya akibat perkataan 'jahannam' oleh Tok Guru Nik Aziz. Kalangan mereka mesti ada yang berfikir, apakah yang menyebabkan mereka dijahannamkan oleh seorang tokoh ulama'. Di mana silap mereka. Memang ada yang bebal dan tidak nampak cahaya di dalam UMNO ini. Ada juga yang tahu dan faham hukum hakam Islam, tetapi disebabkan wang dan pangkat, mereka tetap kekal berada dalam UMNO. Dan, ramai juga yang tersalah faham tentang konsep perlaksanaan Islam yang sebenar, khilaf dalam soal asobiyah keMelayuan yang sebenarnya, lantas memilih UMNO sebagai wadah 'perjuangan' bagi bangsanya.

Hati Orang PAS Sudah Lama UMNO Calarkan

Jika hari ini Najib minta Ustaz Nik Aziz untuk menjaga hati orang UMNO, dan dengan tersangat kemaruknya UMNO kelihatan mahu bekerjasama dengan PAS, maka DPPK Kuala Krai mendesak agar UMNO memohon maaf dan menarik balik segala kata-kata mereka kepada PAS sebelum daripada ini.

"PAS adalah parti ajaran sesat, parti pemecah belah masyarakat, parti ganas dan agresif, ekstremis, pas parti orang kampung, pas mundur dan tak maju, pas tolak kemajuan, pas derhaka kepada raja, pas menggadaikan kepentingan orang Melayu, nak makan sup tangan datang Kelantan, habis batu nak buat jalan di Kelantan jika hudud dilaksana, Kelantan dalam gerhana, Nik Aziz hanya pandai cakap urdu, janggut kambing" dan pelbagai lagi perkataan kotor mereka lemparkan ke muka orang PAS. Pernah mereka terfikir untuk menjaga hati kita?

Bahkan, lebih teruk lagi berbanding kata-kata kesat itu, adalah perbuatan jahat mereka. Kita tidak akan lupa kematian para pejuang kita di tangan mereka. Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy ditahan ISA dan diperlakukan dengan zalim oleh UMNO. Dr. Burhanuddin meninggal beberapa ketika selepas dibebaskan daripada ISA akibat kezaliman UMNO. (Rujuk: Hari-Hari Aku Dizalimi, ISBN: 983-2553-38-5 ). Kita juga tidak akan lupa bagaimana Abdul Samad Gol (bekas Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu) dibunuh dengan kapak bungkus oleh golongan sekular ini. Dan, pada era 80-an, peristiwa Memali sentiasa segar dalam ingatan semua pencinta Islam.

Sekatan ke atas negeri Kelantan, bantuan perkapita yang ditarik balik, dana dan peruntukan kerajaan pusat tidak sampai kepada kerajaan negeri, bahkan turun kepada UMNO Kelantan, pelabur-pelabur ditakutkan untuk datang ke sini, geran diperlewatkan ke akhir tahun, royalti minyak yang tidak berbayar, dan ratusan malahan ribuan lagi kesalahan dan kezaliman yang tidak mampu tertulis di sini yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS.

Semuanya dilakukan tanpa mereka mengambil kira hati dan perasaan rakyat! Apatah lagi hati dan jiwa orang PAS. Semuanya mereka persetankan.

"Dan sekarang, wahai Nik Aziz, berhati-hatilah dalam mengeluarkan kenyataan, kesian orang UMNO, hati mereka tercalar dengan kata-kata kamu....." kesian dia.

Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK K. Krai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...