29 Ogos 2009

Usung Kepala Lembu : Adakah ia Drama KJ?

Ihsan daripada Malaysiakini

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai kesal dengan tindakan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka. Atas apa jua alasan, perkara ini masih mampu untuk diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah tanpa ada unsur-unsur penghinaan dan pembaziran.

Ihsan daripada Malaysiakini

Kami katakan ia adalah mungkin berkaitan dengan penghinaan kerana apa yang sedang dibantah adalah pembinaan kuil Hindu dan secara asasnya kita mengetahui bahawa lembu adalah binatang suci bagi kaum yang menganuti ajaran terbabit. Keduanya, pembaziran terhadap rezeki yang Allah Taala berikan (dalam bentuk daging dan kepala lembu) kepada kita, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ini amatlah tidak berpatutan. Tindakan ini hanya melambangkan kedangkalan dan kebodohan percaturan politik UMNO.

Ihsan daripada Malaysiakini

Kami juga masih ingat bagaimana insiden penggantungan kepala babi di Melaka yang turut didalangi oleh pemimpin UMNO. Politik murahan dengan mengapi-apikan isu perkauman dan keagamaan menjadi seakan-akan nyawa UMNO-Barisan Nasional untuk terus berkuasa di Malaysia ini. Apabila orang Melayu dan Cina ingin mendekati Pakatan Rakyat (dahulunya BA) maka cerita 13 Mei 1969 akan diputarkan kembali oleh mereka untuk menakut-nakutkan rakyat.


Dan, hari ini, apabila berlakunya 'plot' cerita mengenai perarakan kepala lembu ini, maka kami berpandangan ia adalah hasil kerja tangan 'budak-budak Oxford dan Cambridge'. Kata Khairy,"Orang Melayu Islam yang menganjur dan terlibat dengan demonstrasi ini sepatutnya fikir sejenak, apa perasaan mereka jika cadangan membina masjid di kawasan bukan Melayu - yang memang pun berlaku - membawa kepada golongan bukan Melayu membakar dan memijak al-Quran? ".

Dan, untuk menambah perisa lagi, Khairy menyebut, "Jika ada yang menganggap agama Islam dihina atau diperlekehkan sepertimana yang berlaku dengan isu jualan arak di negeri Selangor baru-baru ini, saya akan bangkit mempertahankan maruah agama Islam.

"Tetapi saya juga akan bersuara sekiranya agama lain dihina. Islam mengajar kita untuk mengenali dan membuat baik dengan bangsa lain, sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujarat, ayat 13:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal."

Dan surah Al-Kafirun, ayat 6: "Untuk kamu agama kamu, untuk aku agama aku". Maka budaya menerima kepelbagaian agama ini termaktub dalam kitab suci al-Quran."

Justeru, memang dalam isu ini kita dapat melihat mereka (UMNO) makan dua side sekaligus. Satunya, mereka kelihatan terus dengan tradisi 'membela' kepentingan orang Melayu dan dalam satu lagi aspek, kelihatan dan kedengarannya kata-kata Khairy yang lebih lunak mengenai isu perkauman ini.

Politik desperado UMNO ini tidak akan ke mana-mana pun. Tunggulah PRU ke 13 nanti, dan Najib harus bersedia untuk dilantik sebagai duta Malaysia ke Mongolia setelah Pak Lah dilantiknya sebagai Pengarah IKIM semalam.

Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK K. Krai

27 Ogos 2009

Program Tadarus dan Berbuka Puasa Pemuda PAS Kuala Krai Sepanjang Ramadhan




program Tadarus yang telah selesai:-

Dun Dabong (Pasar Kuala Gris - 28 ogos 2009)
Dun Manek Urai ( Masjid Mukim Temalir - 04 sept. 2009)


22 Ogos 2009

Salam Ramadhan 1430H - 2009

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di seantero dunia dan di Kuala Krai khasnya. Semoga universiti Ramadhan kali ini bakal melahirkan jiwa dan iman yang lebih subur serta senantiasa tunduk patuh kepada Allah S.W.T.

Ramadhan juga diharapkan memberi semangat yang berganda-ganda kepada semua pejuang agama suci ini di serata pelusuk dunia khasnya di Palestin, Iraq, Afganistan, Chehnya, Pattani. Mindanao dan tidak lupa kepada sahabat-sahabat di Permatang Pasir.

Ingatlah bahawa pertembungan kita dengan mereka yang memakai baju sekular ini bukan kerana mereka berada di tampuk kuasa dan kita inginkan kedudukan mereka, bukan kerana mereka memegang guri emas dan harta negara sehingga kita juga tergila-gilakannya, bukan kerana semata-mata berbezanya ideologi dan kaedah pemerintahan antara kita dan mereka, namun ianya adalah jauh lebih besar dan maha agung iaitu, pertembungan antara mereka yang mahu tunduk patuh kepada Allah, Tuhan Maha Pencipta dengan golongan yang menafikan kuasa dan suruhan Allah atas nama liberalisasi dan modernisasi.

Biar berpuasa, biar hadirnya hari raya, namun perjuangan agama Allah tetap akan kita teruskan hingga hujung nyawa.

Takbir!

Allahuakbar!

Catatan 1 Ramadhan oleh: Nazman Che Iberahim Ketua Penerangan DPPK K. Krai

11 Ogos 2009

Pengkhianat Melayu Atau Islam?

Siapa lebih merbahaya antara golongan yang mengkhianati bangsanya-Melayu, ataupun yang mengkhianati agama Allah S.W.T iaitu Islam? Saya kira hayat politik Muhyiddin sebagai TPM tidak akan lama pun. Bahkan, Najib adalah PM terakhir daripada dinasti UMNO-Barisan Nasional, itu lebih kurangnya bacaan pengamat-pengamat politik saat ini. Lagipun, rakyat tidak melihat kekuatan diri Muhyiddin sebagai PM, adakah anda melihatnya?

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai merasakan bahawa isu 'pengkhianat' ini hanyalah peluru UMNO untuk digunakan sepanjang PRK Permatang Pasir sahaja. Memang senjata dan peluru sebegini sering digunakan sejak sekian lama. Bush (ayah dan anaknya) serta Clinton dahulunya akan menyerang negara luar di Teluk seperti Iraq dan mencampuri isu Palestin agar berjaya mengaburi/mengalih pandangan mata rakyatnya akan masalah dalam negara US itu sendiri.

Barisan Nasional sendiri sering kali menggunakannya. Lihat sahaja isu liwat (round 2) yang dibabitkan dengan si Saiful tempoh hari, ianya hanya panas seketika sewaktu DSAI sedang dalam kempen memenangi PRK Permatang Pauh.

Isu derhaka kepada istana dan raja oleh Pakatan Rakyat terutamanya DS Nizar gegak gempita dicanang di seluruh negara hanya panas seketika sewaktu PRK Bukit Gantang semata-mata. DS Nizar menyebut perkara ini dalam Muktamar PAS Kaw. Kuala Krai tempoh hari, " Saya bagi salam pada orang kampung (Melayu) sewaktu kempen di Bukit Gantang, tapi mereka jawab, kami tak jawab salam orang yang derhaka pada sultan...". Sampai begitu sekali orang Melayu termakan dengan senjata UMNO ini.

Isu Chin Peng yang ingin pulang tempoh hari, hingga ramai pesara-pesara tentera yang ditemubual, dimain emosi rakyat akan kekejaman komunis, diminta komen-komen pimpinan PR dan kemudiannya dieksploitasi, dan pelbagai lagi adalah sekadar ingin menutup kelemahan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara. Setelah bank negara mengumumkan keadaan semasa pertumbuhan ekonomi negara yang menunjukkan bahawa ekonomi negara sedang tenat, maka isu Chin Peng cepat-cepat diangkat untuk mengalih pandangan rakyat.

Isu pusat sembelihan babi di Kedah diperbesar-besarkan untuk dijadikan peluru menyerang PAS dan PR di PRIK Manek Urai. Kerana apa? Kerana di Manek Urai mereka tiada isu untuk dimainkan dengan baik sehingga memerlukan mereka mencari isu di luar sana untuk diperbesarkan dan dijadikan peluru untuk dihalakan ke Manek Urai. Yang ada di Manek Urai hanyalah duit dan projek yang ditaburkan dengan begitu lebat sekali kepada pengundi-pengundi di sana.

Dan, isu penghianat ini hanyalah bersifat seperti buih pepsi-kola adanya. Ia hanyalah peluru usang yang dibesar-besarkan di Johor sana dan sedang dihalakan muncungnya ke Permatang Pasir! Get ready!

Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK Kuala Krai

07 Ogos 2009

Siapa Pengkhianat? Anwar-kah, atau Muhyiddin-kah?

Wah-wah....betapa setianya pemuda UMNO Pagoh kepada YB mereka, merangkap TPM Malaysia. Belum pun kering tekak si Muhyiddin berkokok mengatakan Anwar pengkhianat, terus disambut kata-katanya oleh anak muda yang berkiblatkan duit ini. Ya, kerja demonstrasi sebegini sememangnya senang sahaja. Kumpulkan orang sekitar 15-20 orang, dengan sepanduk yang dibuat ala kadar, ada hailer, dan panggil akhbar-akhbar lidah rasmi mereka, selesailah satu episod lakonan dan provokasi. Mudah bukan?

Bercakap soal pengkhianat ini, ia bukanlah perkara baru dalam sejarah orang Melayu sendiri. Kota Melaka antaranya jatuh disebabkan pengkhianat, apabila Portugis sudah hampir berputus asa dan ingin bersiap-siap pulang, datanglah seorang pengkhianat, bangsa tempatan, yang minta askar Portugis terus bertahan dan menyerang selama semalaman atau dua kerana orang Melaka sedang menderita kelaparan akibat terkepung. Rujuk Sejarah Melaka.

Dan, dalam konteks kita sekarang, ianya ditujukan kepada DS Anwar Ibrahim, oleh Tan Sri Muhyiddin anak Ustaz Yassin.

Hey UMNO! Siapa Pengkhianat?

Muhyiddin tidak layak untuk bercakap soal siapa dan bagaimana ertinya sebuah kata khianat ini. Dia sendiri sekian lama mengkhianati orang Melayu baik di Malaysia dan juga Johor khasnya. Siapa yang menjadi MB Johor pada tahun 1981 yang telah menyerahkan tanah di kawasan Sungai Lingu iaitu di Bandar Tenggara Johor sebanyak 51,170 hektar kepada kerajaan Singapura? Jawabnya si Muhyiddin.

Ibrahim Ali yang mana hari ini di dalam Utusan Malaysia turut menyokong kenyataan Muhyiddin yang melontarkan konotasi negatif terhadap Anwar, sebenarnya turut sama mengetahui cerita buruk, kisah silam si Muhyiddin ini. Ibrahim jangan suka memutar belitkan penghujahan semata-mata ingin kekal di dalam arus politik tanah air. Sekejap hentam di sana, sekejap memadu kasih di sini, dan begitulah sebaliknya seiring dengan waktu berputar, Ibrahim terus dengan mainan lompat-lompatnya.

Saya cukup sangsi dengan TPM kita ini, jika sewaktu menjadi MB Johor, cukup banyak tanah di negeri tersebut digadaikan kepada Singapura, maka jika panjanglah usianya sehingga berjaya menjadi PM Malaysia, sudah tentu Negeri Johor dijualkan sahaja kepada Singapura!

Siapa Khianati DEB?

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak digelar pengkhianat kerana usaha beliau untuk menghapuskan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjelaskan lagi sikapnya terhadap nasib dan masa depan orang Melayu.

Kenyataan ini amat dangkal bagi seorang pimpinan pejuang Melayu (Melayu betul ke dia ni?). seperti Reezal. Jika dia menyebut bahawa Anwar ini sebagai pengkhianat, kerana apa? "Kerana cuba", kerana usaha beliau", iaitu cubaan untuk menghapuskan semangat DEB, bukan DEB, tetapi semangat DEB, sudah pun digelar sebagai pengkhianat oleh UMNO dan juak-juaknya, maka apalah pula yang boleh dimaki, dicerca ke atas Najib yang telah pun menghancurkan DEB awal bulan 7 yang baru-baru ini?

Saya minta tuan-tuan membuka semula akhbar bertarikh 1hb Julai 2009 yang mana Najib telah mengumumkan bahawa pada tanggal 30 Jun 2009, beliau selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah memutuskan bahawa kerajaan akan hapuskan 30 peratus kouta wajib bumiputera apabila pelabur hendak melabur untuk tawaran awal permulaan (IPO).

Akhbar-akhbar berbahasa Inggeris semuanya menulis di muka hadapan dengan tajuk "Quota free" (The Star) dan "Free economy" (The Sun). Tetapi akhbar berbahasa Melayu, yang bimbangkan orang Melayu marah dengan keputusan khianat Najib ini, memaparkan pada muka hadapan dengan perkataan yang lebih lunak seperti, "Rangsang pelaburan"(Berita Harian), dan "Ekuiti Nasional ditubuh" (Utusan Malaysia).

Inilah dia spinning job yang dilakukan oleh media yang pro UMNO, menjadi Spinning Doctor dalam memberikan maklumat yang sentiasa diputar-belitkan kepada rakyat. Dalam usaha untuk mengambil hati kaum bukan Melayu saat ini, Najib telah melemparkan semangat juang bangsa Melayunya ke Sungai Pekan di Pahang sana.

Berikut sedikit petikan daripada The Star,

"Wednesday July 1, 2009

Govt does away with 30% bumi equity requirement

30% bumiputra equity repealed

KUALA LUMPUR: The 30% bumiputra quota requirement for companies seeking to list on the Bursa Malaysia has been done away with under an overhaul of the Government’s economic policies.

In his most important announcement since taking office on April 3, Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak said there was a need for a new economic model."

Reezal Merican Yang Melulu/ Melalut

Baiklah Reezal Merican, sekarang saya ingin bertanya kepada anda, Anwarkah-dengan tuduhan sedang 'berusaha' menghapuskan 'semangat' DEB (bukan DEB), ataupun Najib-kah, yang telahpun memusnahkan tunjang orang Melayu melalui DEB dengan pemansuhan kuota 30 % ini yang sebenarnya menghianati orang Melayu? Sila jawab sepuluh saat daripada sekarang!

Reezal dan puak UMNO-nya memang suka bertindak dan menuduh secara melulu, lihat sahaja satu lagi kenyataan mereka dalam Utusan hari ini, "Itu belum lagi dikira dengan hasratnya (Anwar) untuk membuat pinjaman dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF),’’ katanya." Wah-wah, sudahpun dikira bersalah dan berdosa besar bagi UMNO kerana 'berniat', ataupun 'berhasrat' untuk membuat pinjaman dengan IMF. Reezal, dalam Islam sekalipun, jika kita berniat untuk melakukan sesuatu kejahatan, tetapi masih belum melakukannya, maka malaikat tidak akan mencatat ia sebagai satu dosa pun. Tetapi bagi UMNO, ini sahaja modal yang sering diputar apabila bercakap soal DSAI.

Saya kira, Reezal sepatutnya meletakkan sahaja jawatannya sebagai Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kerana anak-anak Melayu memerlukan Presiden yang cerdik, yang tahu menilai baik buruk sesuatu perkara, yang pandai serta tahu sejarah dan yang paling utama yang beriman kepada Allah S.W.T.

Terhapusnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Satu lagi hadiah Najib buat usahawan dan peniaga Melayu ialah dengan memansuhkan kementerian ini yang sekian lama menjadi payung dan pelingdung kepada usahawan bangsa Melayu. Atas usaha ingin mengambil semula hati kaum lain, Najib secara wewenang tanpa mengambil kira pandangan dewan-dewan perniagaan Melayu, terus memansuhkan kementerian ini.

Sepatutnya kementerian ini dikekalkan dan dimajukan lagi agar anak bangsa Melayu yang berjaya dalam perniagaan benar-benar dapat dilahirkan. Dan, diperbaiki sistemnya seperti untuk membuat pinjaman dengan TEKUN, seseorang itu hendaklah mengisi borang UMNO, kemudiannya borang pinjaman mereka harus disokong oleh Setiausaha UMNO Bahagian dan juga Penghulu UMNO. Ini semua adalah salah guna kuasa dalam satu agensi kerajaan yang menyebabkan orang Melayu lembab dan tiada daya saing niaga.


Coretan pagi Jumaat
Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK Kuala Krai

02 Ogos 2009

Najib: Hati Orang PAS Tak Nak Jaga Ke?

Hari ini akhbar UMNO menyebut pada muka hadapan teguran Najib kepada Ustaz Nik Aziz, bunyinya seperti berikut, "Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat menjaga perasaan ahli UMNO dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung mereka jika mahu menjalin kerjasama lebih baik dengan kerajaan Pusat". Bermaksud, UMNO yang dikepalai Najib (Mat Monggol kata Hanief), benar-benar terasa hati dengan perkataan "pergi jahanamlah UMNO!" tempoh hari.

Sudah menjadi fitrah bagi manusia biasa, ciptaan hebat Allah S.W.T untuk memiliki pelbagai jenis perasaan pada waktu yang berlainan. Sedih, gembira, kecewa, bangga, takut, berani, terasa hati, kecil hati dan lain-lain. Dalam hal ini, UMNO terasa hati sangat dengan ucapan jahanam ke atas mereka. Jika ucapan itu hanya keluar daripada mulut pak tani, orang kampung yang berbual di kedai kopi Kampung Temalir tidak mengapa lagi. Tapi yang berkata "jahannam" itu adalah pemimpin Melayu yang bertaraf Tok Guru. Bisanya sukar hilang walau hanya disengat sekali.
Bagus Juga Mereka Masih Terasa

Saya masih teringat sewaktu belajar di UTM Skudai dahulu, sewaktu berada pada tahun kedua kami berjinak-jinak dengan Kelab Hisbah Kolej Tun Razak. Dalam satu keputusan perbincangan dengan sahabat-sahabat untuk cuba menyelesaikan masalah solat di kolej ini, kami pun cuba menampal poster di dinding-dinding blok. Antaranya mengajak warga kolej ke surau. Ada juga ayat poster yang berbentuk amaran daripada Allah S.W.T dalam bentuk ayat Quran dan hadis kepada golongan yang mencuaikan perkara solat.

Wal hasilnya, tidak sampai dua hari, banyak poster-poster kami dikoyak di sekitar bilik mereka yang sememangnya jauh dengan perkara-perkara seperti solat ini. Ada antara kami yang marah apabila poster dengan ayat-ayat quran dikoyak dan disepahkan. Namun, bagi saya, ini satu perkembangan yang agak baik dalam aspek dakwah. Bermaksud, teguran kami dalam bentuk poster itu agak berkesan di hati mereka yang bermasalah. Sekiranya semua mereka yang bermasalah dengan solat hanya memandang sepi poster-poster tersebut, tidak mengambil endah dan peduli, itu menunjukkan bahawa sudah tiada apa yang terletak dalam hati mereka apabila orang lain memperkatakan tentang solat. Ini lagi bahaya.

Sama sahaja dalam kes UMNO yang tercedera hatinya akibat perkataan 'jahannam' oleh Tok Guru Nik Aziz. Kalangan mereka mesti ada yang berfikir, apakah yang menyebabkan mereka dijahannamkan oleh seorang tokoh ulama'. Di mana silap mereka. Memang ada yang bebal dan tidak nampak cahaya di dalam UMNO ini. Ada juga yang tahu dan faham hukum hakam Islam, tetapi disebabkan wang dan pangkat, mereka tetap kekal berada dalam UMNO. Dan, ramai juga yang tersalah faham tentang konsep perlaksanaan Islam yang sebenar, khilaf dalam soal asobiyah keMelayuan yang sebenarnya, lantas memilih UMNO sebagai wadah 'perjuangan' bagi bangsanya.

Hati Orang PAS Sudah Lama UMNO Calarkan

Jika hari ini Najib minta Ustaz Nik Aziz untuk menjaga hati orang UMNO, dan dengan tersangat kemaruknya UMNO kelihatan mahu bekerjasama dengan PAS, maka DPPK Kuala Krai mendesak agar UMNO memohon maaf dan menarik balik segala kata-kata mereka kepada PAS sebelum daripada ini.

"PAS adalah parti ajaran sesat, parti pemecah belah masyarakat, parti ganas dan agresif, ekstremis, pas parti orang kampung, pas mundur dan tak maju, pas tolak kemajuan, pas derhaka kepada raja, pas menggadaikan kepentingan orang Melayu, nak makan sup tangan datang Kelantan, habis batu nak buat jalan di Kelantan jika hudud dilaksana, Kelantan dalam gerhana, Nik Aziz hanya pandai cakap urdu, janggut kambing" dan pelbagai lagi perkataan kotor mereka lemparkan ke muka orang PAS. Pernah mereka terfikir untuk menjaga hati kita?

Bahkan, lebih teruk lagi berbanding kata-kata kesat itu, adalah perbuatan jahat mereka. Kita tidak akan lupa kematian para pejuang kita di tangan mereka. Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy ditahan ISA dan diperlakukan dengan zalim oleh UMNO. Dr. Burhanuddin meninggal beberapa ketika selepas dibebaskan daripada ISA akibat kezaliman UMNO. (Rujuk: Hari-Hari Aku Dizalimi, ISBN: 983-2553-38-5 ). Kita juga tidak akan lupa bagaimana Abdul Samad Gol (bekas Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu) dibunuh dengan kapak bungkus oleh golongan sekular ini. Dan, pada era 80-an, peristiwa Memali sentiasa segar dalam ingatan semua pencinta Islam.

Sekatan ke atas negeri Kelantan, bantuan perkapita yang ditarik balik, dana dan peruntukan kerajaan pusat tidak sampai kepada kerajaan negeri, bahkan turun kepada UMNO Kelantan, pelabur-pelabur ditakutkan untuk datang ke sini, geran diperlewatkan ke akhir tahun, royalti minyak yang tidak berbayar, dan ratusan malahan ribuan lagi kesalahan dan kezaliman yang tidak mampu tertulis di sini yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS.

Semuanya dilakukan tanpa mereka mengambil kira hati dan perasaan rakyat! Apatah lagi hati dan jiwa orang PAS. Semuanya mereka persetankan.

"Dan sekarang, wahai Nik Aziz, berhati-hatilah dalam mengeluarkan kenyataan, kesian orang UMNO, hati mereka tercalar dengan kata-kata kamu....." kesian dia.

Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK K. Krai
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...