Bagi kita yang berpendidikan dan bekerja dalam sektor professional, perkataan NKRA dan KPI ini tidaklah begitu asing sangat. Namun, bagi makcik dan pakcik di kampung, apalah sangat perkataan dan slogan-slogan yang tidak difahami ini oleh mereka.
Saya tertarik untuk mengatakan sesuatu pada pagi ini apabila membaca akhbar-akhbar pro UMNO-Barisan Nasional yang memaparkan berita tentang NKRA. Najib seolah-olah lupa , ataupun lebih tepat lagi, Najib merasa bahawa beliau cukup hebat apabila mahu menyelesaikan masalah-masalah yang melanda rakyat sejak sekian lama dalam masa hanya enam minggu.
Kata Najib, dalam setiap enam minggu beliau akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang dirancangkan. Rujuk gambarajah yang dicuplik daripada laman Utusan Online di bawah.

Pada pandangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai, kita melihat perkara ini sebagai satu tayangan dan ulangan yang sama sahaja daripada Najib. Tidak perlulah untuk disebut bahawa enam menteri ditugaskan untuk sekian-sekian tugasan di bawah NKRA ini sedangkan ianya telahpun menjadi tugas asasi setiap individu yang bergelar pak menteri apabila berada di kementerian tersebut.
Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran, sememangnya wajib memastikan bahawa pendidikan di negara ini berkualiti dan berkemampuan. Hishamuddin pula, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap institusi kepolisan dan agensi lain yang berkaitan keselamatan dalam negeri, sememangnya wajib berusaha untuk mengurangi kadar jenayah. Jadi, tidak perlu untuk diulang-ulang perkara yang sama semata-mata untuk menipu rakyat.
''NKRA meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula, menterinya adalah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, menterinya adalah Datuk Seri Shafie Apdal dan NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya adalah Datuk Seri Ong Tee Keat," katanya.
Lihat sahaja ucapan Najib yang saya petik di atas. Memang jelas, bahawa pengulangan terhadap tugas asasi kementerian terbabit di sebut kembali untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa mereka sedang bekerja untuk rakyat.
Jangan Terlalu Idelistik
Apabila Najib menyebut bahawa di bawah NKRA ini, beliau dan kerajaan pimpinannya mahu menghapuskan kemiskinan tegar sebelum tamat 2010, kita berasa amat sangsi. Kerana apa kita merasa demikian? Kerana tempoh yang kita beri sejak lima puluh tahun yang lepas, malahan sejak DEB diperkenal dan diguna pakai sejak hampir 40 tahun ini, rakyat yang hidup melarat tetap ramai dan tidak terbela. Yang kaya semakin kaya, yang miskin papa kedana! Tiba-tiba, Najib ingin selesaikan masalah yang tidak selesai setengah abad yang lalu hanya dalam masa tidak sampai setahun setengah?
Perkara ini seperti mana yang mantan PM kita sebut dalam blognya, Dr Mahathir berkata beliau tidak rasis apabila bercakap tentang bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang tidak terbela ekonominya, yang tidak menjadi tuan di tanah airnya sendiri serta bermacam-macam lagi.
Kita ingin sebut kepada Tun Mahathir, tidak cukupkah masa selama 22 tahun beliau berkuasa untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dirungutkannya sekarang ini? Inilah dia sikap pemimpin dan bangsawan UMNO. Cakap besar, umpama ayam jantan yang kokoknya berdegar-degar, tetapi ekor penuh terpalit tahi.
Memerangi gejala rasuah juga, yang dikepalai oleh Nazri Aziz, tidak akan ke mana-mana seperti mana usaha lembik Tun Abdullah dahulu sahaja. Pak Lah dahulu apabila mengisytiharkan perang terhadap rasuah, telah mengheret Tan Sri Kasitah Gaddam, Eric Chia dan Mohd Isa. Pada akhirnya Eric Chia bebas, dan duit sebanyak RM10 billion dalam skandal Perwaja Steel ini tidak dapat dikesan. Eric Chia (mendiang) bebas dan lepas, tetapi kes ini tidak memuaskan hati rakyat. Kata pemimpin BN, kes ini selesai. Hey UMNO! Apa yang selesainya apabila wang sebanyak RM 10 billion tidak dapat dikesan ke mana perginya? Begitu juga nasib Kasitah Gaddam yang mana skandalnya hanya hilang dibawa angin dan beliau mungkin sedang bersenang-lenang saat ini. Mohd Isa pula sudah kembali, siap bertanding sebagai Naib Presiden UMNO lagi baru-baru ini.
Ini dia penyakit UMNO tuan-tuan, rasuah tidak akan selesai di bawah seliaan mereka. Umpama menyuruh serigala menjaga biri-biri bagi pihak tuannya. Menyuruh UMNO menjaga duit rakyat dengan amanah? Tuan-tuan ada jawapannya bukan?
Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK Kuala Krai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan