
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai merasakan bahawa pemergian Allahyarham dalam saat sebegini merupakan ujian daripada Allah S.W.T buat pencinta-pencinta perjuangan Islam dan juga cabaran seterusnya buat PM Najib Razak.
Bagi pejuang-pejuang Islam, letih dan lelah, pengorbanan masa dan tenaga, keringnya wang di poket, perpisahan dengan anak isteri sepanjang kempen pilihanraya Manek Urai pun masih bersisa, sekarang ini dipanggil pula ke medan perjuangan di Permatang Pasir.
Namun, janji Allah S.W.T membuatkan jiwa pejuang sentiasa berkobar-kobar dalam setiap pertembungan dengan golongan yang memusuhi syariat dan hukum hakam Allah S.W.T ini. Bagi jiwa pencinta Islam, di mana pun ada ketenangan buat mereka.
On the other hand, Najib pula terus menghadapi ujian dalam siri-siri pilihanraya kecil ini. Mungkin sahaja sewaktu pilihanraya umum pada 8hb Mac 2008 yang lepas, semua kesilapan, kelemahan dan segala jenis kesalahan dilambakkan ke atas bahu Pak Lah semata-mata sehingga menyebabkan BN tumbang di lima negeri dan hilang majoriti di Dewan Rakyat, dan ia memudahkan proses peralihan (baca: Najib tendang Pak Lah) kuasa berlaku.
Pilihanraya Kecil Selepas PRU-12
Pilihanraya kecil selepas PRU 12 adalah di tujuh buah tempat, yang mana menyaksikan tiga kawasan parlimen dan empat kawasan dewan undangan negeri menjadi fokus pertembungan BN-PR. Kawasan parlimen tersebut adalah Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Manakala DUN pula adalah Batang Ai, Bukit Selambau, Penanti dan juga Manek Urai. Dalam kesemua pertembungan ini, PR menang 6-1 ke atas BN.


Harapan Baru, Slogan Baru
Awal bulan April 2009, Malaysia menerima 'anugerah' baru iaitu Mamanda Perdana Menteri ke 6 bagi negara bertuah ini. Dan, seperti mamanda-mamanda yang sebelum ini juga, kehadiran mereka akan diiringi dengan slogan serta harapan baru. Najib, datang dengan 1 Malaysia-nya. Harapan menggunung agar rakyat kembali kepada UMNO-Barisan Nasional seperti mana yang pernah berlaku tanggal tahun 2004 dahulu apabila Pak Lah dengan imej Mr Clean-nya berjaya memenangi PRU 11 dengan cukup gilang-gemilang. Cemerlang, terbilang...belalang dan sebagainya.

Najib jugalah pemain utama yang memutuskan bahawa BN tidak akan bertanding di Penanti, habis wang rakyat katanya. Memang agak bosan pilihanraya berkenaan apabila BN tidak sertainya. Atas nasihat SB dan memang mood rakyat yang tidak berpihak kepada Najib dan kerajaannya, maka BN mengambil sikap tidak peduli dengan PRK Penanti. Akhirnya, Dr Mansor tetap menang di sana seperti yang disangka, cumanya sejarah tercatat bahawa peratusan yang keluar mengundi adalah yang terendah di negara ini.

BN kemudiannya tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba nasib di Manek Urai kerana mereka tidak rugi apa-apa pun dalam pertarungan di sini. Rugi duit rakyat? Mainan kata-kata sahaja sebenarnya. Yang pasti, di Manek Urai ini, dalam kira-kira mereka, seandainya mereka tewas, maka biasalah sahaja kerana kawasan itu adalah kubu kuat PAS. Dan, yang lebih pentingnya adalah, jika mereka menang, maka itu adalah bonus besar buat memberi sambungan hayat bagi UMNO-Barisan Nasional. Seterusnya dapat menepis andaian bahawa Najib adalah PM terakhir daripada dinasti UMNO-Barisan Nasional. Dan, keputusan telah menunjukkan bahawa BN berjaya dengan segala taktik kotornya untuk mengurangkan majoriti PAS di Manek Urai ini, sehingga hampir-hampir parti Islam itu tewas.
Najib Mahu Cuba Kali Ke 8?
Suasana pilihanraya di Permatang Pasir tidak akan banyak perbezaan berbanding Penanti kerana DUN ini terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili DSAI sama seperti Penanti yang pernah UMNO tolak peluangnya dahulu. Najib dan gerombolannya akan terus dihukum oleh rakyat akibat dosa-dosa silam mereka selama 50 tahun lebih memerintah Malaysia.
Memang ada hikmah yang cukup besar apabila berlaku kematian satu demi satu wakil rakyat ini, sehingga membuka peluang yang bersiri-siri bagi rakyat terus menggali kubur buat UMNO dan BN. Dan, kita amat yakin bahawa pengundi di Permatang Pasir akan terus kekal dengan Pakatan Rakyat dan bakal menjadi satu lagi sebab kepada momentum rakyat untuk menguburkan terus UMNO-Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke 13 nanti, Insyaallah!
Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK K. Krai
