31 Mei 2009

Ada harapan menang - Ahli Akademik

Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Ghazali Mayudin berkata PAS mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menang pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai pada 14 Jun depan.

Ini katanya, ia merupakan kubu kuat PAS bahkan PAS menang beberapa kali dalam pilihan raya umum di situ.

Tambahan pula ujarnya sentimen rakyat masa kini yang tidak berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Sebaliknya beliau berkata, banyak berpihak kepada Pakatan Rakyat.

"Jadi kedua-dua faktor ini saya ingat tidak ada masalah bagi PAS untuk menang dengan majoriti yang lebih besar.

"Dan mungkin kalau alasan yang diberikan BN di Penanti itu membazirkan wang dan sebagai, maka ini pun baik juga jika mereka tidak bertanding sebab kemungkinan kalah itu sangat besar," katanya semasa dihubungi Harakahdaily semalam.

Namun katanya, adat orang yang bertanding Umno akan berasa mereka boleh berjaya walaupun secara peribadi mereka rasakan sukar untuk menang.

Untuk pengetahuan umum katanya, sudah pasti Umno akan mendakwa mereka ada harapan untuk menang.

"Ini sesuatu yang biasa, mana-mana juga termasuk Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, memang itu yang dikatakan mereka," ujarnya sambil mendakwa, lazimnya di mana-mana pun akan diperkatakan Umno.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob, 60, akibat serangan penyakit jantung pada 22 Mei lalu.

Dalam pada itu kata Ghazali berkata, buat masa ini beliau tidak nampak sebarang masalah dihadapi PAS.

Melainkan katanya, pihak lawan PAS permainkan isu dalaman PAS antaranya ulama, bukan ulama, Erdogan dan sebagainya.

"Malah itu yang dipermain-main kemudian akan juga permainkan isu rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat.

"Seperti mana isu di Penanti dibesar-besarkan isu calon Bebas, Aminah Abdullah dan sebagainya.

"Ini hendak menunjukkan dalam Pakatan Rakyat pun ada rasuah, ugutan dan sebagainya, maknanya PAS bersekongkol dengan orang-orang ini," dakwanya.

Bagaimanapun dakwanya, isu dalam PAS sendiri mungkin orang akan melihat isu Erdogan dan sebagainya yang kononnya berlaku perpecahan.

Apapun katanya, pada pengamatannya PAS tidak ada masalah.

Menyentuh mengenai keghairahan Umno untuk bertanding di Manek Urai, beliau berpandangan, senarionya berbeza kerana di Penanti Adunnya meletak jawatan.

Kerana itu katanya, Umno menganggap sebagai permainan politik Pakatan Rakyat.

Sebaliknya di Manek Urai itu meninggal dunia, mesti diadakan pilihan raya.

Kerana itu katanya, tidak pelik berlaku masalah perebutan dalam Umno untuk bertanding sejurus parti tersebut mengambil keputusan untuk bertanding di Manek Urai.

"Setiap yang bertanding itu berasakan mereka ada harapan untuk menang jadi kalau ada perebutan dalam Umno satu perkara biasa," katanya. - mns_

30 Mei 2009

pelancaran Jentera P/raya N41 Manek Urai

KUALA KRAI, 29 Mei (Hrkh) - Biarpun tarikh pilihan raya kecil Dun Manek Urai lebih sebulan lagi, namun PAS sudah memulakan gerak kerja jentera pilihan raya secara rasmi hari ini.

Pelancarannya disempurnakan Pesuruhajaya PAS Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di bangunan Pasti, Kampung Baru Manek Urai petang ini.

Biar pun pancaran terik matahari melimpah di atas kepala namun ia tidak menghalang orang ramai hadir.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Haji Abdul Fatah Harun, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Tiga lembu dikorbankan bagi jamuan orang ramai. Kehadiran yang luar biasa itu menyebabkan ramai tidak sempat menjamah juadah disediakan.

Manakala malam ini difahamkan Umno juga mengadakan program di kampung sama yang akan dihadiri Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamed bertempat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.

Biar pun agak kurang sihat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap berucap merasmikan pelancaran jentera tersebut.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, tiada sebab pengundi menolak PAS memandangkan pembangunan yang dicanang Umno juga berlaku di Kelantan sama seperti di negeri-negeri lain.

"Umno dan PAS berbeza. PAS menekankan aspek dosa pahala dan segala kerja buat akan mendapat ganjaran di dunia dan akhirat. Bagaimanapun Umno hanya terhenti setakat dunia sahaja.

"Sebab itulah biar pun tugas kita sekadar memasang poster, namun ganjarannya besar akan diberi pahala kerana hasrat kita mahu mendaulatkan Islam," katanya.

Menurutnya Kelantan biar pun hampir 20 tahun diterajui PAS namun pembangunan tetap juga berlaku.

"Begitu juga dengan negeri-negeri lain yang diterajui Pakatan Rakyat sekarang iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kedah juga berlaku arus pembangunan biar pun Umno dan BN tidak lagi menerajui negeri berkenaan," katanya.

Menurutnya sejak menerajui Kelantan pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mendaulatkan Islam termasuk memindahkan wang dari bank konvensional ke Bank Islam sehingga ia menjadi ikutan ramai sekarang.

sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas itu Takiyuddin berkata, operasi jentera pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil tersebut bermula secara rasmi hari ini.

Kata beliau juga esok akan bermula proses meneliti secara terperinci cadangan nama-nama calon yang akan diketengahkan bagi mewakili PAS mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai depan.

Beliau berkata, cadangan nama-nama calon itu akan diangkat kepada Badan Perhubungan PAS negeri sebelum diserah untuk mendapat pertimbangkan PAS Pusat.

Ditanya mengenai kemungkinan calon yang diketengahkan katanya ada di antara merupakan tokoh tempatan dan yang tinggal di luar kawasan pilihan raya.

"Calon-calon terbabit memang berkelayakan, malah kalau hendak dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri pun mereka ada kelayakan," katanya.

Mengenai peluang memenangi pilihan raya tersebut kata beliau harapan agak cerah memandangkan pada pilihan raya umum tahun lepas undi popular yang diraih PAS di Manek Urai lebih 55 peratus.

Malah katanya, pada pilihan raya umum 1999 PAS mencapai undi popular sehingga 60 peratus.

Beliau juga yakin penduduk akan memberi sokongan padu keapada PAS memandangkan semangat yang dipamerkan wakil rakyat sebelum ini begitu memberangsangkan dan Allahyarham begitu dekat dengan penduduk. - mj _

25 Mei 2009

Tengku Mahkota Kelantan dilantik Pemangku Raja

KOTA BHARU, 25 Mei (Hrkh) - Tengku Mahkota Kelantan kini dilantik sebagai Pemangku Raja memandangkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra sedang gering.

Tengku Muhammad Faris Petra menjalankan tugas Sultan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Pelantikan tersebut berkuatkuasa pada 24 Mei 2009 sehingga Tuanku Ismail Petra sembuh daripada kegeringan.

Pengisytiharan mengenai perkara itu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Mohd Aiseri Alias dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam.

"Hendaklah ada satu pangkuan Raja di dalam negeri apabila Sultan gering dan tidak boleh menjalankan tugas menjaga hal ehwal negeri, maka Majlis Perajaan Negeri hendaklah melantik seorang Pemangku Raja atau satu Majlis Pangkuan Raja," katanya

Kelmarin Majlis Perajaan Negeri mengadakan mesyuarat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersetuju melantik Tengku Muhammad Faris, iaitu anakanda sulung kepada Sultan Kelantan sebagai Pemangku Raja.

Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak 14 Mei lepas bagi menjalani rawatan setelah mengadu mengalami masalah pernafasan.

Baginda kemudian didapati mengalami masalah jantung.

Bagaimanapun semalam baginda dihantar untuk rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. - mj _

Bekas Adun tabur semula janji lama di Manek Urai

KUALA KRAI, 24 Mei (Hrkh) - Umno Kelantan kini amat mengharapkan semangat Pengkalan Pasir pada 2005 berulang di Manek Urai, biar pun empat pilihan raya kecil pasca Mac 2008 nasib tidak menyebelahi mereka.

Lebih-lebih lagi Umno Kelantan di bawah Dato' Mustapa Mohamed, yang dianggap berjaya memulih kedudukan Umno pada pilihan raya umum 2004.

Maka tidak hairanlah sejak berita Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakub (Paksu Mail) jatuh sakit tersebar, Umno sudah melakukan gerak kerja keluar masuk kampung.

Difahamkan antara pemimpin Umno yang melobi untuk dicalonkan bekas Adun Manek Urai, Zulkifli Omar apabila dikatakan sudah menjelajah ke beberapa kampung di kawasan Dun terbabit.

Dan semalam beliau difahamkan mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Budi.Image

"Pertemuan tersebut diadakan di sebuah kedai kopi. Zuki berucap di depan beberapa penduduk yang ada di kedai kopi tersebut dengan menjanjikan mahu memberi pelbagai bantuan kepada penduduk.

"Kalau hendak zink dia sanggup beri. Seorang rakan yang hadir pada pertemuan itu memberitahu sudah acap kali dia mendengar bekas wakil rakyat menabur janji serupa," kata seorang penduduk Sidi Mamat, 42 di sini.

Bagaimanapun laluan Zulkifli untuk dicalonkan pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan sukar memandangkan beliau tewas merebut jawatan Naib Ketua Bahagian Kuala Krai pada pemilihan yang diadakan tahun lepas.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Kuala Krai tewas kepada Jalal Che Muda.

Sementara itu di Kampung Manek Urai Lama, orang ramai masih lagi menziarahi keluarga Paksu Mail untuk merakamkan ucapan takziah.

Manakala pada sebelah malam diadakan tahlil arwah di masjid yang terletak tidak jauh daripada rumah Adun terbabit.

Sementara itu, seorang ahli Umno di Kubang Kerian turut merasai kehilangan Paksu Mail kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang bersikap peramah dan mesra rakyat.

"Sebenarnya saya tidak rapat dengan arwah Paksu, tetapi sesekali bertemu kita dapat merasai bagaimana kemesraan beliau dengan orang ramai.

"Peribadinya luhur. Beliau berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin Umno. Sebab itulah saya juga merasai pemergian Paksu," katanya.

Paksu Mail kembali ke Rahmatullah pada pagi kelmarin di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu selepas hampir sebulan menjalani rawatan. Beliau menderita penyakit gaot, jantung dan darah tinggi.

Allahyarham berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dun Manek Urai selama lima penggal dan tidak pernah kalah dalam pilihan raya.

Seorang bekas pemimpin Parti Semangat 46 berkata, arwah Paksu Mail merupakan seorang wakil rakyat patut diteladani semua ahli politik. - mj _

PAS Kuala Krai Mula Gerak Kerja

KUALA KRAI, 24 Mei (Hrkh) - PAS kawasan ini telah menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Haji Ismail Yaakub pagi Jumaat lalu.

Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, persiapan awal telah digerakkan bermula semalam dengan mengadakan beberapa pertemuan.

"Dan malam ini akan diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan di Dun Manek Urai.

"Kita membuat persiapan awal sebelum jentera peringkat negeri turun," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya di Ladang Pasir Gajah, petang tadi.

Malam semalam seorang pemuda India, Kumara Dewan, 32 mati akibat kemalangan jalan raya di Kampung Keroh. Sumbangan disampaikan kepada ayah mangsa, B Balakrishnan. Image

Mangsa dijangka melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan. Dia juga mengusahakan kedai runcit di ladang tersebut. Kumara merupakan anak kedua daripada empat adik beradik.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, PAS Kuala Krai akur sepenuhnya mana-mana calon yang diketengahkan pimpinan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Beliau juga berharap mendapat kerjasama jentera pilihan raya Pakatan Rakyat dari seluruh negara seperti mana yang berlaku di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

"Saya yakin sepenuhnya seluruh jentera Pakatan Rakyat akan turut memberi sumbangan dalam pelbagai cara untuk mempertahankan Dun Manek Urai," katanya.

Beliau juga berharap Umno tidak meletakkan calon di Manek Urai memandangkan sebelum ini mereka tidak mahu membazirkan wang kerajaan.

"Sekarang kita akan lihat mereka akan bertanding atau tidak. Kalau di Penanti mereka menarik diri atas alasan tidak mahu membazir," katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krai, Ustaz Mahadi Mat Zin berkata, pemuda PAS kawasan itu akan bekerja keras mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil

Mogok lapar di Perak - Ustaz Ahmad Awang beri penjelasan

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan keputusan Badan Perhubungan PAS Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan munajat sewaktu berhadapan dengan kemelut politik di negeri Perak adalah selaras dengan Islam.

Dalam kenyataannya sebentar tadi, Ustaz Ahmad berkata, hikmah berpuasa juga bertepatan dengan sunnah apabila umat Islam digalakkan berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan hijrah iaitu 1 Jamadil Akhir (esok).

Katanya, keputusan PAS selaras dengan hasrat parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mahu menganjurkan mogok lapar tiga hari mulai esok sebagai membantah kezaliman Barisan Nasional terhadap rakyat di negeri itu.

"Saya sudah bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam daripada DAP dan KeADILan, mereka mengatakan mogok lapar yang dianjurkan tidak dibuat sehingga menyeksa diri.

"Lagi pun mereka menyediakan khidmat doktor yang akan sentiasa memantau keadaan," katanya.

Sekaligus Ustaz Ahmad menolak kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria yang mengatakan umat Islam haram melakukan mogok lapar.

"Jangan kita terperangkap dengan mainan media, kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat.

"Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasaruddin Hassan dalam sebuah akhbar harian hari ini yang menolak mogok lapar, saya fikir tidak sesuai," tegasnya.

Ustaz Ahmad memberitahu, beliau sudah mengarahkan PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan pada Khamis (hari ketiga berpuasa) malamnya diadakan solat hajat dan munajat.

Tegasnya, matlamat utama berpuasa sunat dan munajat diadakan ialah untuk memohon kepada Allah agar digerakkan hati pihak yang berkuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Kita tidak mahu terlalu hampa dengan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan, kita masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan, apa yang kita mahu, sebagai orang Islam, kita mesti sentiasa dekat kepada Allah dan memohon pertolongan dari-Nya," tegas beliau.

Sehubungan itu beliau mempelawa umat Islam yang berpuasa di Perak untuk menyertai majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak selama tiga hari berturut-turut mulai esok. - mks._

UMNO bermimpi di siang hari

"Saya akan ke sana (Manek Urai) Selasa ini untuk melihat segala persiapan dan kita berpendapat ada harapan untuk BN menang kerusi DUN Manek Urai. "Kita bukan takbur atau ingin mendahului takdir tetapi jika dilihat rekod Manek Urai pada 2004, kita (BN) pernah menang jadi di mana-mana kawasan yang kita pernah menang bererti tidak mustahil untuk kita menang lagi," kenyataan ini telah dikeluarkan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Ahmad Maslan.


Ahmad Maslan berkata kemelut politik semasa yang berlaku di Perak ketika ini tidak akan menjejaskan peluang BN untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dari PAS, yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Jumaat lalu. Beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan semua jentera parti untuk memberi penjelasan dan penerangan berhubung situasi sebenar yang berlaku di Perak kepada rakyat di kawasan itu.

Ternyata UMNO bermimpi di siang hari jikalau mereka ingin menang di Manek Urai. Sasaran yang dibuat tidak realistik dan tidak berpijak di bumi. Kenyataan-kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menyedap hati perut mereka sahaja, tak lebih dari itu. Sekiranya UMNO berkata mereka boleh menang di Manek Urai, atas isu apakah yang UMNO yakin mereka boleh menang? Buat masa sekarang tiada satu isu pun yang menyebelah pada UMNO. Adakah isu rampasan kuasa di Perak menyebelah kepada pihak UMNO, ternyata UMNO bermain dengan api. Rakyat tidak bodoh untuk diperbodoh-bodohkan oleh UMNO.

Masyarakat sekarang adalah masyarakat berilmu, tidak boleh disogokkan dengan mainan wayang kulit oleh puak-puak UMNO. Merujuk kepada kenyataan Prof. Aziz Bari, dalam isu-isu penghakiman di negara ini hanya 3 kes sahaja yang menentang Kerajaan Pusat di buat dalam kes Dato Stephen Kalong Ningkan di Sarawak (1966), Dato Seri Joseph Pairin Kitingan di Sabah (1986) dan Dato Seri Nizar Jamaluddin di Perak (2009). Sejak Februari lalu kebanyakan hakim memberi keputusan yang menyebelahi UMNO. Kenyataan tersebut cukup untuk menggambarkan insitusi kehakiman negara kita pada masa ini.

Namun, satu perkara penting perlu diingat dan perlu dipahat dalam kepala otak oleh UMNO ini ialah rakyat Kelantan adalah bijak berpolitik. Pada PRU Mac 2008 yang lalu UMNO membuat serangan yang tak bermaruah kepada PAS Kelantan seperti melancarkan Tahun Merawat Kelantan di saat Sultan Kelantan melancarkan Tahun Melawat Kelantan 2008. Walau apapun bentuk serangan yang dibuat ke atas Kelantan, tetapi rakyat Kelantan bijak berpolitik dan tetap teguh bersama kepimpinan ulama.

23 Mei 2009

Mahfuz mahu BN digesa kota janji tidak tandingi Manek Urai, elak pembaziran

(Detikdaily) JIKA Barisan Nasional (BN) memberikan alasan mahu menumpukan kepada pembangunan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, alasan yang sama boleh digunakan di Manek Urai tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar.

Mahfuz mengesa agar BN tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai bagi menjimatkan wang termasuk kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kos yang perlu dikeluarkan untuk pasukan polis.

"Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan memberikan alasan BN tidak bertanding di Penanti kerana mahu menjimatkan wang rakyat dan mahu menumpukan kepada soal pembangunan. Jadi kalau di Penanti mereka gunakan alasan ini tidak ada sebab di Manek Urai juga mereka tidak menggunakan alasan yang sama," tegas beliau.

BN tegas Mahfuz perlu mengotakan janji mereka untuk menumpukan kepada soal pembangunan dan pemulihan ekonomi berbanding menyertai pilihanraya kecil. Beliau seterusnya menegaskan jika BN membuat keputusan untuk bertanding di Manek Urai, rakyat akan menilai keputusan mereka di Penanti.

Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob subuh 22 Mei lalu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan PAS agar tidak terlalu yakin akan dapat mempertahankan kerusi tersebut kerana BN akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Muhyiddin juga berkata, BN tidak akan memberi laluan mudah kepada PAS di kerusi tersebut.

"PAS jangan terlalu yakin, walaupun ini kawasan mereka, jangan ingat mereka akan sentiasa menang. Dalam pilihanraya umum lalu, kita kalah cuma (lebih) 1,000 undi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Tambahnya, BN ingin bertanding kerana kekosongan itu disebabkan kematian penyandangnya Ismail Yaakob dan bukannya kerana wakil rakyat sengaja meletakkan jawatan - seperti di DUN Penanti.

Di Singapura, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan BN akan meletakkan calonnya bagi mencabar PAS di kerusi tersebut.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali pagi ini berkata kemenangan BN di Manek Urai tidak memberi banyak makna kerana PAS menguasai majoriti besar di Kelantan.

"Kalau BN menang, ia tidak mengubah majoriti kerana kita ada majoriti dua pertiga yang besar (di Dun Kelantan)," katanya di Kuala Lumpur bagi mengumumkan kematian mengejut wakil rakyatnya itu.

Tarikh pilihan raya kecil Dun tersebut dijangka diumumkan oleh SPR Khamis ini.



22 Mei 2009

Al-Fatehah : Pok Su Wil Manek Urai Meninggal Dunia

Adun kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Haji Ismail Yaacob, 60 (gambar) telah kembali kerahmatullah pada jam 5.55 pagi tadi di hospital Raja Perempuan Zainab II.

Sebelum itu beliau dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga dipotong sebelah kanan.
Sebelum ini beliau menghidapi penyakit gaot sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Pada persidangan Dun Febuari lalu beliau dapat menghadirinya biar pun badannya kelihatan agak kurus. Ismail yang lebih dikenali sebagai Paksu Wil antara Adun yang paling lama di Kelantan.

Beliau memenangi Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 1986. Sehingga sekarang beliau sudah lima penggal mewakili Dun berkenaan. Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak bertanding dan Dun Manek Urai diwakili Ustaz Zamzuri Mat Lazim. Sementara dalam pemilihan PAS Kawasan Kuala Krai pada 2 Mei yang lepas, beliau telah dipilih oleh para perwakilan sebagai Timbalan Yang Dipertua.

Dengan kekosongan kerusi DUN ini pasti akan membawa laluan kepada satu lagi pilihanraya kecil setelah disahkan oleh pihak SPR nanti melalui makluman resmi dari Speaker DUN Kelantan. Semuga rohnya dirahmati Allah SWT.

Al Fatihah.

17 Mei 2009

Ketua Pemuda PAS Negeri Klelantan 2009/2011

Ust Latif ketuai DPPNK


latifKOTA BHARU, 14 Mei (Hrkh) - Adun Mengkebang, YB Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman Sabtu lalu dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan yang baru menggantikan Mohd Zaki Ibrahim.

Manakala Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah pula menang tanpa bertanding Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Seorang peguam, Hisham Fauzi pula dipilih untuk jawatan Naib Ketua. Jawatan itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru kesemua dari golongan profesional.

YB Mohamad Zaki tidak mempertahankan jawatan memandangkan sudah melepasi had usia dibenarkan.

Bagaimanapun perwakilan sebulat suara bersetuju mencalonkannya bertanding jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Manakala Mohd Azmi Noor kekal sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalannya, Ustaz Zamri Mat Yusof.

Anggota jawatankuasa yang dipilih iaitu Harun Ismail, Borhanuddin Ahmad, Mahussin Isa, Ahmad Fadli Saari, Hafiz Musa, Ahmad Najib Deris, Wan Azimin Wan Adnan, Azariza, Mohd Nazlan Mohd Hasbullah dan Mohd Fitri Omar
Last Updated ( Sunday, 17 May 2009 15:38 )

Hentikan Kenyataan Yang Boleh Menimbulkan Fitnah

Hentikan Kenyataan Yang Boleh Menimbulkan Fitnah

Sunday, 17 May 2009 16:07 Dewan Pemuda PAS Kelantan
latifSaya memandang serius terhadap dakwaan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan yang memaklumkan bahawa terdapat unsur-unsur yang tidak sihat dalam proses pemilihan diperingkat parti.

Isunya ialah Ketua Dewan Ulama mendakwa terdapat kes yang melibatkan pemberian pakaian dan jamuan makan yang mempengaruhi pemilihan peringkat parti.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan menggesa Badan Perhubungan PAS Negeri supaya suatu jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Siasatan ini penting agar perkara-perkara negatif ini tidak menjadi barah didalam parti PAS. Dan sekiranya didapati dakwaan itu benar, pihak parti perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Oleh kerana dakwaan dari Ketua Dewan Ulama agak samar dan boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan , maka adalah diharapkan dengan penubuhan jawatankuasa siasatan ini mampu menjelaskan segalanya samada sememangnya terdapat unsur-unsur tersebut atau sekadar tuduhan semata-mata.

Dewan Pemuda PAS Kelantan berharap dakwaan tersebut bukanlah fitnah dan mengharapkan ianya dapat diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan kekeliruan yang
timbul dan berlarutan.

Dewan Pemuda PAS Kelantan juga berharap keharmonian dan kedamaian parti perlu dijaga. Kenyatan-kenyataan yang bersifat kontroversi dan tidak menguntungkan parti perlu dihentikan. Kita juga menyarankan kepada mana-mana pimpinan segera menghentikan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah, melemahkan parti dan memecahbelahkan perpaduan ahli. Sebaiknya perkara sebegini diselesaikan melalui saluran dalaman parti.

Sekian,terima kasih

YB. ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

14 Mei 2009

PAS curiga keputusan Mahkamah Rayuan itu diputuskan bagi membolehkan Dun Perak dibubarkan ketika di bawah pemerintahan BN


KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan, 12 Mei lalu yang membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum itu dikhuatiri dipengaruhi kepentingan politik BN. lapor Irwan Muhamad Zain.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada media menegaskan, PAS sentiasa menghormati keputusan mahkamah namun dalam masa yang sama mereka juga khuatir keputusan tersebut dipengaruhi pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan itu dibimbangi diputuskan bagi membolehkan Dun Perak dibubarkan ketika di bawah pemerintahan BN.

"Kita melihat keputusan ini dibuat bagi membolehkan Zambry kembali menjadi Menteri Besar dan seterusnya mereka akan memohon untuk dibubarkan Dun. Jika Dun dibubarkan, BN akan menjadi kerajaan sementara dalam tempoh tersebut dan inilah yang dimahukan oleh mereka supaya sebarang keputusan atau peruntukan dapat dikawal oleh mereka," tegas Mahfuz.

Beliau juga menegaskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu tidak menyelesaikan kemelut di Perak sebaliknya menambahkan kerumitan dan kebuntuan serta keresahan rakyat Perak.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali tegas Mahfuz sepatutnya mempertimbangkan situasi persekitaran dan tidak hanya membuat keputusan berdasarkan undang-undang semata-mata.

"Hakim sepatutnya mengambil kira keresahan rakyat Perak yang mengharapkan penyelesaian total dapat segera dilaksanakan," tegas beliau.

Justeru itu, tegas Mahfuz PAS mendesak jika pembubaran Dun dilakukan dalam tmpoh terdekat, kerajaan sementara yang mentadbir Perak dalam tempoh tersebut hendaklah diwakili oleh Pakatan Rakyat dan BN.

Pada 12 Mei lalu Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mei lepas yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi 12 Mei dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas. Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah rayuan itu sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Dato' Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi sehari sebelumnya. Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam 12 Mei adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat.

05 Mei 2009

PAS tidak letak calon di Penanti

Mohd Sabri Said
Tue | May 05, 09 | 1:55:20 pm MYT

TASEK GELUGOR, 5 Mei (Hrkh) - PAS tetap mementingkan setiakawan dalam isu pilihan raya kecil N12 Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti yang akan diadakan pada 31 Mei ini kata, Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS, Dato' Haji Mustaffa Ali.

Walaupun kedengaran desas desus PAS Pulau Pinang, Dewan Pemuda Negeri, Dewan Muslimat PAS Kawasan dan Kawasan Permatang Pauh sendiri mahukan PAS meletakan calon namun keputusan muktamad terletak pada Majlis Presiden yang telah menetapkan pembahagian kerusi berdasarkan pilihan raya umum lepas.

"Kehadiran saya di sini adalah untuk mendengar sendiri rintihan dan keluhan ahli di peringkat akar umbi dan Insya Allah saya akan berikan makluman ini pada Presiden parti pada mesyuarat 10 Mei ini nanti," jelasnya pada media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan PAS Kawasan seluruh Pulau Pinang di Pusat Pendidikan Padang Menora, Tasek Gelugor semalam.

Menurutnya, setiakawan begitu penting dalam perjuangan tambahan lagi bersama-sama dalam gabungan Pakatan Rakyat yang pastinya mahukan kemenangan sehingga dapat mentadbir negara keseluruhanya.

Semangat setiakawan sahaja dapat mengelak daripada perpecahan dalam Pakatan Rakyat kerana perpecahan mengundang padah serta menghampakan pengharapan rakyat yang selama ini mengharapkan Pakatan Rakyat sebagai alternatif mengantikan Barisan Nasional (BN) yang hilang wibawa sebagai pemerintah, katanya.

"Tanpa setiakawan dalam perjuangan Pakatan Rakyat akan kalah. Bila kalah BN yang gembira, rakyat yang cintakan kemakmuran dan keadilan hilang keyakinan terhadap Pakatan Rakyat. Waktu itu apa yang bakal terjadi pada parti kita," tegasnya.

Beliau mengingatkan PAS sekali-kali tidak mengizinkan ahlinya bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya kecil kelak atau dikenakan tindakan displin.

Semua itu terpaksa dilaksanakan semata-mata membendung sikap emosi yang boleh merosakan Pakatan Rakyat dan melambatkan proses pengambilalihan kuasa daripada BN ekoran percanggahan pandangan sesama sendiri.

"Kita harap hubungan dalam Pakatan Rakat diperkemaskan kerana rakyat sedang menilai ke mana arah tuju dalam mengemudikan kerajaan. Dalam hal ini saya akan memaklumkan pada presiden parti serta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar betapa pentingnya duduk semeja bukan menghadapi piliha raya sahaja malahan isu-isu lain agar Pakatan Rakyat dilihat mantap," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Trengganu.

Turut sama dalam sidang media itu ialah Pesuruhrjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Setiausaha Perhubungan, Fadhil Kemi dan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin. - mns_

Himpunan 'One Black Malaysia', munajat pagi di Perak

Himpunan 'One Black Malaysia', munajat pagi di Perak
Azamin Amin
Tue | May 05, 09 | 10:08:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Satu himpunan yang diberi nama 'One Black Malaysia' serentak dengan satu program solat hajat, doa munajat dan solat subuh akan diadakan di Ipoh, Perak pada 7 Mei, sebelum berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri.

Orang ramai khususnya penduduk di Perak dan juga para penyokong diseru untuk turut serta di dalam program anjuran PAS Pusat sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Dato' Seri Nizar Jamaluddin sekaligus menyatakan bantahan terhadap kerakusan Barisan Nasional (BN) yang merampas kuasa tempoh hari.

Program yang telah mendapat persetujuan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan diadakan bermula jam 5.00 pagi di Masjid Al-Ittihadiyah, Kampung Tengku Husin Baru, Manjoi, Ipoh, Perak.

"Kita minta orang ramai untuk datang solat dan berdoa supaya negeri ini berada dalam keadaan aman dan 'menyingkirkan' Barisan Nasional yang telah mengucar-kacir keadaan di Perak ini. Selain itu orang ramai diminta memakai pakaian ataupun baju berwarna hitam sebagai tanda sokongan terhadap himpunan 'One Black Malaysia' ini.

"Himpunan yang dianjurkan PAS hanya akan tertumpu di masjid tersebut dan selepas solat subuh terpulanglah kepada orang ramai sama ada ingin turut serta mengikuti Sidang Dun ataupun sebaliknya memandangkan hari tersebut adalah hari bekerja," demikian ucapan ringkas Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS Pusat mendesak supaya Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan segera untuk mengembalikan hak rakyat menentukan kerajaan yang mereka kehendaki

"Pembubaran itu perlu dilakukan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan mereka sendiri dan bersesuaian dengan amalan demokrasi," katanya. - azm/mks. _

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...