
Saya ingin mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed seperti yang
tersiar di dalam akhbar Mingguan Malaysia, Ahad 5 Februari 2012. Beliau
di dalam kenyataan yang disiarkan pada hari seluruh umat Islam di dunia
menyambut perayaan Maulidur Rasul itu antara lain menyatakan, “RM600
juta sudah diberi kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
secara percuma tetapi sampai ke hari ini mereka gagal menyelesaikan
masalah air. Duit sebanyak ini kalau kita buat pinjaman di bank akan
dikenakan kadar faedah sehingga tujuh peratus, tetapi mereka dapat
percuma namun tiada hasil yang dapat dilihat..”. Menurut laporan
tersebut, kenyataan itu dikeluarkan oleh Mustapa ketika berucap di
Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Parlimen Tanah Merah pada 4
Februari 2012.
Hakikatnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh
Mustapa itu merupakan satu pembohongan yang sangat jelas. Saya begitu
hairan bagaimana beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri
Kelantan yang pernah mengeluarkan kenyataan bersedia untuk menjadi
Menteri Besar Kelantan pada November tahun lepas tergamak mengeluarkan
kenyataan yang sangat jelas tidak benar. Samada beliau sengaja berbohong
atau mendapat maklumat yang salah? Sebagai seorang Menteri, amatlah
tidak logik jika beliau mendapat maklumat yang salah, justeru jika
beliau berbohong, layakkah seorang pembohong ditabalkan menjadi
pemimpin.
Perlulah diingatkan, pinjaman RM600 juta yang
dijanjikan kepada Kelantan itu bukannya percuma, bahkan ia merupakan
pinjaman yang perlu dibayar. Pada peringkat awalnya, caj kadar faedah
dikenakan sebanyak 2 peratus bersama-sama negeri Terengganu yang pada
masa itu berada di bawah penguasaan PAS. Semenjak tahun 2004 apabila
UMNO kembali menguasai negeri Terengganu, caj kadar faedah terhadap
Terengganu telah dimansuhkan. Pemansuhan ini sekaligus melibatkan negeri
Kelantan. Sekalipun caj kadar faedah dimansuhkan, ia tetap merupakan
pinjaman yang perlu dibayar. Dan pinjaman yang perlu dibayar amat
bertentangan maknanya dengan ‘pemberian percuma’ seperti yang didakwa
oleh Mustapa.
Selain itu, pinjaman tersebut bukannya diberikan
sekaligus bahkan diluluskan di bawah tiga Rancangan Malaysia (RMK) iaitu
Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebanyak 96 juta, RMK-9 (RM160 juta)
dan RMK-8 (RM291 juta) menjadikan jumlah kesemuanya ialah RM547 juta,
sedangkan yang dijanjikan ialah sebanyak RM600 juta.
Justeru,
amat jelas bahawa Mustapa yang merupakan pemimpin nombor satu UMNO
Negeri Kelantan pada hari ini merupakan seorang pembohong yang nyata.
Adakah rakyat Kelantan rela melantik individu seperti ini menjadi
pemimpin? Tentu rakyat masih ingat bagaimana Mustapalah orangnya yang
pernah membuat pengakuan di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 24
November 2007 ketika membahaskan usul ucapan terima kasih terhadap
titah ucapan Tuanku Al Sultan Kelantan bahawa beliau pernah berperanan
menyekat Negeri Kelantan dari menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat.
Sehingga ke hari ini, Mustapa masih belum memohon maaf terhadap rakyat
Kelantan di atas kesalahannya itu.
Rakyat juga masih belum lupa
bagaimana Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri ketika kempen pilihan raya kecil di Manek Urai pada tahun 2009
sebelum ini bertegas menyatakan bahawa Kelantan tidak berhak ke atas
royalti minyak dan gas kerana kedudukan pelantar minyak terletak di
kawasan bertindih. Namun apabila dibuktikan bahawa ia termasuk di dalam
kawasan perairan Kelantan, Mustapalah orangnya yang beria-ria
mendapatkan wang ehsan untuk dipolitikkan demi kepentingan UMNO. Saya
ingin bertanya, pemimpin jenis apakah ini yang sanggup memperjudikan
segala kepentingan rakyat demi masa depan politiknya?
Justeru,
saya mengira kenyataan terkini Mustapa itu sebenarnya lebih mendedahkan
belang sebenar beliau yang sanggup berbohong sekalipun sedar
pembohongannya tetap akan terbongkar. Sungguh benar kata pepatah,
“siakap sinohong gelama ikan duri, bercakap bohong masih kekal sebagai
Menteri…”
Dengan hormat,
ABDUL LATIFF BIN ABD RAHMAN,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Bertarikh : 7 Februari 2012