16 Oktober 2009

Travelog: Catatan pendek seorang aku di Bagan Pinang

8hb Oktober 2009

Yusmadi dan Ashraf, dua orang sahabat lama menghantar SMS kepadaku dan mahukan kesahihan akan pesanan daripada Ustaz Nasarudin Tantawi yang menggesa kami (ahli-ahli pemuda PAS) turun segera ke Bagan Pinang bagi memberikan bantuan kepada sahabat-sahabat di sana yang diserang oleh pemuda UMNO pada malam sebelumnya.

Sekali baca macam SMS provokasi sahaja. Tapi aku terus menghubungi Khairul Faizi, bekas bos ku di DPPN Johor dahulu untuk bertanyakan khabar. Katanya memang benar serangan itu berlaku dan Ketua Pemuda DPPP ada menghantar SMS bantuan kepada ramai ahli pemuda di seluruh negara, namun banyak daripada isi SMS itu yang telah ditokok tambah bagi menyedapkan lagi cerita serangan UMNO terhadap markas DPPP.

Aku bertekad untuk ke sana dengan segera. Kerja-kerja ubahsuai kedai baru abahku, disiapkan terus pada pagi dan tengahari itu juga agar keesokannya masaku telah lapang. Kerja ubahsuai sebuah lagi kedai yang dijadualkan ingin dibuat pada petang Jumaat, terus dibatalkan. Yusmadi dan Doja setuju untuk bersamaku ke Bagan Pinang.

Kami tidak akan pernah membiarkan sahabat-sahabat ditimpa bencana dan kesusahan tanpa kami sendiri tutut sama berusaha membantu dan membela.

9hb Oktober 2009

Jam menunjukkan waktu 1.30 pagi dan Doja sudah menghubungiku. Katanya, "marila nak gi gak", ayat biasa beliau apabila ingin ke mana-mana bersamaku. Walaupun kami telah berjanji untuk bertolak pada jam 2.30 pagi, tetapi nampaknya Doja sudah tidak sabar-sabar dan cukup teruja untuk ke sana.

Kami solat subuh di stesen minyak petronas Kuala Lipis dan bersarapan di Raub. Terus ke lebuhraya Karak, keluar di tol Gombak, menghala ke tol Sg. Besi dan keluar di persimpangan PD serta tiba akhirnya di Kem Si Rusa, salah satu UPU di Bangan Pinang pada jam 10.00 pagi. Perjalanan dalam masa lebih kurang 6 jam lebih sahaja jika tidak dicampur dengan masa yang terbuang untuk berhenti makan dan ke tandas.

Sampai di sana, kami menghubungi Sdr. Sakri Ibrahim, wakil jentera pemuda PAS Kuala Krai yang telah sampai 2 hari sebelumnya mengikuti gelombang ketiga jentera PAS Kelantan. Kemudian kami meronda sekitar UPU Si Rusa bertemu sahabat-sahabat lama daripada pemuda Johor.

Mata yang teramat kuyu dan badan yang terlalu letih akibat perjalanan jauh dirasakan segar semula apabila bertemu dengan Sdr. Auzani. Sdr. Afsan dan Ustaz Zaifidin dari pemuda Gelang Patah. Kelihatan juga sahabat-sahabat pimpinan Amal negeri Johor. Tidak sempat bersalaman dan menegur dari jauh kelihatan Sdr. Shamsul Bakri dari Tebrau. Beliau juga adalah Exco DPPNJ yang menjaga urusan perpaduan nasional menggantikan tempatku dahulu.

Kami terus meronda ke UPU Teluk Kemang. Sambil-sambil meronda kami melihat akan kurangnya meriah suasana pilihanraya di sini. Hanya bendera, kain rentang, poster gergasi dan gambar calon BN serta pimpinan mereka yang memenuhi ceruk kampung dan bandar di DUN ini. Jelas berbeza dengan perang poster dan kemeriahan di PRK Kuala Terengganu dan DUN Manek Urai sebelumnya. Lebih teruk lagi, kelihatan cukup banyak poster, bendera, dan papan tanda PAS yang dirobohkan serta dibakar oleh samseng UMNO di Bagan Pinang ini.

Jam 4 petang

Kami melelapkan masa seketika petang ini bagi mengumpulkan semula tenaga yang ketirisan. Memang nikmat Allah dalam bentuk tidur ini amat hebat. Segala sendi dan urat saraf yang dirasakan lenguh-lumpuh, menjadi segar semula selepas berehat dan tidur seketika.

Jam 7.30 malam

Kami bergerak ke tempat yang dijadualkan berlangsung ceramah perdana oleh Tok Guru Nik Aziz dan DSAI. Kata Yusmadi, "kita bertahan di sini, bimbang kalau-kalau samseng UMNO menyerang dan mengganggu ceramah Tok Guru".

Orang ramai mulai memenuhi tempat ceramah iaitu di rumah Pak Ngah yang merupakan Ketua Cawangan UMNO Kampung Bagan Pinang. Beliau akan menyerahkan borang keahlian PKR bersama-sama dengan lebih 270 orang ahli UMNO di kampung tersebut dan mengumumkan untuk meninggalkan UMNO setelah hampir 15 tahun bersama parti siasah tersebut.

Jam 9.30 malam

Ceramah dimulakan oleh Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan. Kemudiannya dijemput wakil NGO yang membantah PPSMI iaitu Profesor Shahril dan diikuti oleh YB Dr. Lo' Lo' Hj Mohd Ghazali, MP Titiwangsa. Seterusnya beberapa penceramah lain termasuklah MP Teluk Kemang sendiri iaitu Dato' Kamarul Bahrin Abbas.

Kemudiannya ucapan yang ditunggu-tunggu daripada DSAI dimulakan. Beliau mencabar supaya SPRM dan polis menyiasat semua akaun dan sahamnya, yang berada di Malaysia dan seluruh dunia termasuk di Switzerland, jika benar dakwaan Khairy bahawa Anwar memiliki wang simpanan sebanyak RM3 billion dalam akaunnya. Namun, Khairy juga harus disiasat jika tiada apa yang bersalah dibuktikan terhadap Anwar.

DSAI juga menyatakan kekesalan kerana dirinya dikecam dan diserang dengan cukup hebat oleh UMNO dan Isa Samad sendiri di Bagan Pinang sedangkan beliau tidak bertanding di situ pun. Dan, DSAI mengugut untuk membongkar cerita lama Isa Samad dan Muhyiddin yang menggelar beliau sebagai pengkhianat jika mereka secara berterusan menyerangnya.

Pada akhir ucapannya, DSAI menegaskan tekad PR untuk membela nasib semua kaum dan membina sebuah Malaysia yang baru yang lebih gagah dan mantap.

Jam 10.30 malam

Tok Guru Nik Aziz tiba di perkarangan tempat ceramah........

bersambung....

Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK Kuala Krai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...