07 Ogos 2009

Siapa Pengkhianat? Anwar-kah, atau Muhyiddin-kah?

Wah-wah....betapa setianya pemuda UMNO Pagoh kepada YB mereka, merangkap TPM Malaysia. Belum pun kering tekak si Muhyiddin berkokok mengatakan Anwar pengkhianat, terus disambut kata-katanya oleh anak muda yang berkiblatkan duit ini. Ya, kerja demonstrasi sebegini sememangnya senang sahaja. Kumpulkan orang sekitar 15-20 orang, dengan sepanduk yang dibuat ala kadar, ada hailer, dan panggil akhbar-akhbar lidah rasmi mereka, selesailah satu episod lakonan dan provokasi. Mudah bukan?

Bercakap soal pengkhianat ini, ia bukanlah perkara baru dalam sejarah orang Melayu sendiri. Kota Melaka antaranya jatuh disebabkan pengkhianat, apabila Portugis sudah hampir berputus asa dan ingin bersiap-siap pulang, datanglah seorang pengkhianat, bangsa tempatan, yang minta askar Portugis terus bertahan dan menyerang selama semalaman atau dua kerana orang Melaka sedang menderita kelaparan akibat terkepung. Rujuk Sejarah Melaka.

Dan, dalam konteks kita sekarang, ianya ditujukan kepada DS Anwar Ibrahim, oleh Tan Sri Muhyiddin anak Ustaz Yassin.

Hey UMNO! Siapa Pengkhianat?

Muhyiddin tidak layak untuk bercakap soal siapa dan bagaimana ertinya sebuah kata khianat ini. Dia sendiri sekian lama mengkhianati orang Melayu baik di Malaysia dan juga Johor khasnya. Siapa yang menjadi MB Johor pada tahun 1981 yang telah menyerahkan tanah di kawasan Sungai Lingu iaitu di Bandar Tenggara Johor sebanyak 51,170 hektar kepada kerajaan Singapura? Jawabnya si Muhyiddin.

Ibrahim Ali yang mana hari ini di dalam Utusan Malaysia turut menyokong kenyataan Muhyiddin yang melontarkan konotasi negatif terhadap Anwar, sebenarnya turut sama mengetahui cerita buruk, kisah silam si Muhyiddin ini. Ibrahim jangan suka memutar belitkan penghujahan semata-mata ingin kekal di dalam arus politik tanah air. Sekejap hentam di sana, sekejap memadu kasih di sini, dan begitulah sebaliknya seiring dengan waktu berputar, Ibrahim terus dengan mainan lompat-lompatnya.

Saya cukup sangsi dengan TPM kita ini, jika sewaktu menjadi MB Johor, cukup banyak tanah di negeri tersebut digadaikan kepada Singapura, maka jika panjanglah usianya sehingga berjaya menjadi PM Malaysia, sudah tentu Negeri Johor dijualkan sahaja kepada Singapura!

Siapa Khianati DEB?

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak digelar pengkhianat kerana usaha beliau untuk menghapuskan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjelaskan lagi sikapnya terhadap nasib dan masa depan orang Melayu.

Kenyataan ini amat dangkal bagi seorang pimpinan pejuang Melayu (Melayu betul ke dia ni?). seperti Reezal. Jika dia menyebut bahawa Anwar ini sebagai pengkhianat, kerana apa? "Kerana cuba", kerana usaha beliau", iaitu cubaan untuk menghapuskan semangat DEB, bukan DEB, tetapi semangat DEB, sudah pun digelar sebagai pengkhianat oleh UMNO dan juak-juaknya, maka apalah pula yang boleh dimaki, dicerca ke atas Najib yang telah pun menghancurkan DEB awal bulan 7 yang baru-baru ini?

Saya minta tuan-tuan membuka semula akhbar bertarikh 1hb Julai 2009 yang mana Najib telah mengumumkan bahawa pada tanggal 30 Jun 2009, beliau selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah memutuskan bahawa kerajaan akan hapuskan 30 peratus kouta wajib bumiputera apabila pelabur hendak melabur untuk tawaran awal permulaan (IPO).

Akhbar-akhbar berbahasa Inggeris semuanya menulis di muka hadapan dengan tajuk "Quota free" (The Star) dan "Free economy" (The Sun). Tetapi akhbar berbahasa Melayu, yang bimbangkan orang Melayu marah dengan keputusan khianat Najib ini, memaparkan pada muka hadapan dengan perkataan yang lebih lunak seperti, "Rangsang pelaburan"(Berita Harian), dan "Ekuiti Nasional ditubuh" (Utusan Malaysia).

Inilah dia spinning job yang dilakukan oleh media yang pro UMNO, menjadi Spinning Doctor dalam memberikan maklumat yang sentiasa diputar-belitkan kepada rakyat. Dalam usaha untuk mengambil hati kaum bukan Melayu saat ini, Najib telah melemparkan semangat juang bangsa Melayunya ke Sungai Pekan di Pahang sana.

Berikut sedikit petikan daripada The Star,

"Wednesday July 1, 2009

Govt does away with 30% bumi equity requirement

30% bumiputra equity repealed

KUALA LUMPUR: The 30% bumiputra quota requirement for companies seeking to list on the Bursa Malaysia has been done away with under an overhaul of the Government’s economic policies.

In his most important announcement since taking office on April 3, Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak said there was a need for a new economic model."

Reezal Merican Yang Melulu/ Melalut

Baiklah Reezal Merican, sekarang saya ingin bertanya kepada anda, Anwarkah-dengan tuduhan sedang 'berusaha' menghapuskan 'semangat' DEB (bukan DEB), ataupun Najib-kah, yang telahpun memusnahkan tunjang orang Melayu melalui DEB dengan pemansuhan kuota 30 % ini yang sebenarnya menghianati orang Melayu? Sila jawab sepuluh saat daripada sekarang!

Reezal dan puak UMNO-nya memang suka bertindak dan menuduh secara melulu, lihat sahaja satu lagi kenyataan mereka dalam Utusan hari ini, "Itu belum lagi dikira dengan hasratnya (Anwar) untuk membuat pinjaman dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF),’’ katanya." Wah-wah, sudahpun dikira bersalah dan berdosa besar bagi UMNO kerana 'berniat', ataupun 'berhasrat' untuk membuat pinjaman dengan IMF. Reezal, dalam Islam sekalipun, jika kita berniat untuk melakukan sesuatu kejahatan, tetapi masih belum melakukannya, maka malaikat tidak akan mencatat ia sebagai satu dosa pun. Tetapi bagi UMNO, ini sahaja modal yang sering diputar apabila bercakap soal DSAI.

Saya kira, Reezal sepatutnya meletakkan sahaja jawatannya sebagai Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kerana anak-anak Melayu memerlukan Presiden yang cerdik, yang tahu menilai baik buruk sesuatu perkara, yang pandai serta tahu sejarah dan yang paling utama yang beriman kepada Allah S.W.T.

Terhapusnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Satu lagi hadiah Najib buat usahawan dan peniaga Melayu ialah dengan memansuhkan kementerian ini yang sekian lama menjadi payung dan pelingdung kepada usahawan bangsa Melayu. Atas usaha ingin mengambil semula hati kaum lain, Najib secara wewenang tanpa mengambil kira pandangan dewan-dewan perniagaan Melayu, terus memansuhkan kementerian ini.

Sepatutnya kementerian ini dikekalkan dan dimajukan lagi agar anak bangsa Melayu yang berjaya dalam perniagaan benar-benar dapat dilahirkan. Dan, diperbaiki sistemnya seperti untuk membuat pinjaman dengan TEKUN, seseorang itu hendaklah mengisi borang UMNO, kemudiannya borang pinjaman mereka harus disokong oleh Setiausaha UMNO Bahagian dan juga Penghulu UMNO. Ini semua adalah salah guna kuasa dalam satu agensi kerajaan yang menyebabkan orang Melayu lembab dan tiada daya saing niaga.


Coretan pagi Jumaat
Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK Kuala Krai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...