04 Julai 2009

Umno berdepan laluan berliku di Manek Urai

KUALA KRAI, 3 Julai (Hrkh) - Beberapa indikator yang ditemui membayangkan usaha Umno untuk merampas kerusi Dun Manek Urai semakin samar. Kajian melalui kajiselidik yang dijalankan sebuah badan meletakkan PAS berada di hadapan.

Begitu juga dengan perkembangan di lokasi pilihan raya yang berlaku sekarang.

Pertembungan di antara kumpulan bekas Ketua Bahagian Umno Kuala Krai, Dato' Wan Zaid Wan Abdullah dengan ketua bahagian sekarang, Dato' Ramzi Abdul Rahman tidak mampu disembunyikan lagi.

Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dikatakan mempunyai hubungan lebih rapat dengan Wan Zaid. Malah sebelum ini Ramzi lebih mengharapkan Naib Ketua Umno bahagian itu, Che Jalal Muda dicalonkan membawa cabaran Umno di Manek Urai.

Malah calon BN dikatakan keseorangan keluar masuk kampung tanpa mendapat sokongan padu ketua bahagian. Kedatangannya ke Masjid Kampung Manek Urai Lama baru-baru ini tanpa ada sokongan jentera Umno di situ.

Seorang penduduk berkata, beliau tidak mengenali siapa lelaki bersongkok yang datang sembahyang baru-baru ini.

"Saya hanya lihat ada beberapa sahaja jemaah yang ada di masjid bersalam dengan orang berkenaan. Saya hanya tahu orang terbabit ialah calon BN Manek Urai selepas diberitahu kemudian," katanya ketika ditemui di sini.

Kata beliau orang kampung langsung tidak kenal calon terbabit biar pun dikatakan bekas pegawai tinggi di Kesedar.

Sementara itu orang ramai merungut bekalan elektrik di Manek Urai dan Laloh sering terganggu sehari dua ini.

Kata mereka gangguan tersebut kemungkinan berpunca daripada penggunaan alat penghawa dingin di markas sementara polis yang mulai digunakan sekarang.

Gangguan bekalan elektrik berlaku semalam mulai jam 5 petang sehingga 7.30 malam. Biar pun kaunter aduan Tenaga Nasional Bhd dibina di kampung Manek Urai Baru, nampaknya masalah gangguan bekalan elektrik masih berlaku. - mj _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...