28 Jun 2009

Pas anggap kerajaan perpaduan sudah 'tutup buku'

KUALA KRAI – Pas menganggap kerajaan perpaduan yang heboh diperkatakan banyak pihak sudah berakhir dan parti itu tidak akan melayan mana-mana pihak yang mempersoalkannya.

Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Harun berkata, mereka yang masih mempersoalkan isu itu dianggap sudah ketinggalan zaman dan tidak mengikuti perkembangan politik semasa.

“Cerita mengenai kerajaan perpaduan sudah 'tutup buku' dan kita (Pas) tak akan layan mana-mana pihak yang cuba memperkatakannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Rantau Panjang, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, bahawa idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas demi perpaduan Melayu belum berkubur.

“Biarlah UMNO nak kata apa pun, Pas tetap dengan pendirian bahawa isu tersebut sudah ditutup dan tidak akan dibincang lagi.

“Ini sebagaimana diputuskan dalam perjumpaan pemimpin tertinggi parti, termasuk pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga mahu pemimpin parti politik mengikuti perkembangan semasa untuk mengulas sesuatu isu yang bertujuan untuk dijadikan bahan kempen dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sekarang ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...