30 Mei 2009

pelancaran Jentera P/raya N41 Manek Urai

KUALA KRAI, 29 Mei (Hrkh) - Biarpun tarikh pilihan raya kecil Dun Manek Urai lebih sebulan lagi, namun PAS sudah memulakan gerak kerja jentera pilihan raya secara rasmi hari ini.

Pelancarannya disempurnakan Pesuruhajaya PAS Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di bangunan Pasti, Kampung Baru Manek Urai petang ini.

Biar pun pancaran terik matahari melimpah di atas kepala namun ia tidak menghalang orang ramai hadir.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Haji Abdul Fatah Harun, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Tiga lembu dikorbankan bagi jamuan orang ramai. Kehadiran yang luar biasa itu menyebabkan ramai tidak sempat menjamah juadah disediakan.

Manakala malam ini difahamkan Umno juga mengadakan program di kampung sama yang akan dihadiri Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamed bertempat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.

Biar pun agak kurang sihat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap berucap merasmikan pelancaran jentera tersebut.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, tiada sebab pengundi menolak PAS memandangkan pembangunan yang dicanang Umno juga berlaku di Kelantan sama seperti di negeri-negeri lain.

"Umno dan PAS berbeza. PAS menekankan aspek dosa pahala dan segala kerja buat akan mendapat ganjaran di dunia dan akhirat. Bagaimanapun Umno hanya terhenti setakat dunia sahaja.

"Sebab itulah biar pun tugas kita sekadar memasang poster, namun ganjarannya besar akan diberi pahala kerana hasrat kita mahu mendaulatkan Islam," katanya.

Menurutnya Kelantan biar pun hampir 20 tahun diterajui PAS namun pembangunan tetap juga berlaku.

"Begitu juga dengan negeri-negeri lain yang diterajui Pakatan Rakyat sekarang iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kedah juga berlaku arus pembangunan biar pun Umno dan BN tidak lagi menerajui negeri berkenaan," katanya.

Menurutnya sejak menerajui Kelantan pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mendaulatkan Islam termasuk memindahkan wang dari bank konvensional ke Bank Islam sehingga ia menjadi ikutan ramai sekarang.

sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas itu Takiyuddin berkata, operasi jentera pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil tersebut bermula secara rasmi hari ini.

Kata beliau juga esok akan bermula proses meneliti secara terperinci cadangan nama-nama calon yang akan diketengahkan bagi mewakili PAS mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai depan.

Beliau berkata, cadangan nama-nama calon itu akan diangkat kepada Badan Perhubungan PAS negeri sebelum diserah untuk mendapat pertimbangkan PAS Pusat.

Ditanya mengenai kemungkinan calon yang diketengahkan katanya ada di antara merupakan tokoh tempatan dan yang tinggal di luar kawasan pilihan raya.

"Calon-calon terbabit memang berkelayakan, malah kalau hendak dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri pun mereka ada kelayakan," katanya.

Mengenai peluang memenangi pilihan raya tersebut kata beliau harapan agak cerah memandangkan pada pilihan raya umum tahun lepas undi popular yang diraih PAS di Manek Urai lebih 55 peratus.

Malah katanya, pada pilihan raya umum 1999 PAS mencapai undi popular sehingga 60 peratus.

Beliau juga yakin penduduk akan memberi sokongan padu keapada PAS memandangkan semangat yang dipamerkan wakil rakyat sebelum ini begitu memberangsangkan dan Allahyarham begitu dekat dengan penduduk. - mj _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...